fbpx

5 terbunuh, 22 cedera dalam serangan syarikat aeroangkasa Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman CCTV menunjukkan penyerang menghampiri pintu masuk TUSAS. - Media sosial

ANKARA – Sekumpulan penyerang bersenjata melancarkan serangan pengganas ke atas syarikat aeroangkasa milik kerajaan Turkiye berhampiran bandar ibu negara, Ankara semalam, lapor saluran berita CNN.

Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 22 cedera dalam serangan di ibu pejabat Industri Aeroangkasa Turki (TUSAS) di pinggir Ankara, kata Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya. 

“Dua penyerang iaitu seorang lelaki dan wanita turut terbunuh,” tambahnya.

Antara yang maut ialah empat pekerja TUSAS serta pemandu teksi yang membawa penyerang ke kemudahan itu,  ujar Naib Presiden Turkiye, Cevdet Yilma.

Video media sosial menunjukkan detik letupan menggegarkan ibu pejabat TUSAS. Selepas letupan itu, seorang penyerang yang memegang senjata api dilihat berlari di kawasan yang kelihatan seperti tempat letak kereta.

Dalam video berasingan yang disahkan oleh CNN, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan penyerang memakai beg galas dan membawa senjata api. Mereka menghampiri pintu masuk ibu pejabat syarikat aeroangkasa itu.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. 

Namun, apabila ditanya oleh wartawan, Menteri Pertahanan, Yasar Guler berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) menjadi dalang serangan tersebut.

PKK diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas oleh Turkiye, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Ali kemudian berkata, sementara proses untuk mengenal pasti penyerang sedang berjalan, penilaian awal menunjukkan PKK berada di belakang serangan itu.

“Sebaik sahaja disahkan kumpulan mana yang bertanggungjawab, kami akan mengumumkannya. 

“Dari mula dan cara serangan dilakukan serta berdasarkan video yang kami lihat, ia menunjukkan PKK melakukan serangan. Itu penilaian kami,” kata Ali kepada wartawan.

Sementara itu, ketua biro Turkiye bagi laman berita media Middle East Eye, Ragip Soylu berkata, TUSAS adalah salah satu syarikat pertahanan terbesar negara itu. Ia menghasilkan dron bersenjata dan jet pejuang. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI