KANGAR – Seorang suri rumah memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kakak kandungnya yang tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu agar menghubunginya.
Menurut Noor Maszura Yahya, 43, kali terakhir dia bertemu dengan kakaknya, Norani Yahya, 53, pada Isnin lalu di rumah ibu mereka di Utan Aji, di sini.
“Kali terakhir saya bertemu dengan kakak dia memakai tudung berwarna coklat, berbaju biru dengan corak kotak serta berseluar putih. Aplikasi WhatApp menunjukkan kali terakhir dia dalam talian pada pukul 11.30 pagi hari sama.
“Motosikal yang digunakan kakak ditemui di stesen kereta api Arau dan pihak berkuasa sedang meneliti rakaman televisyen televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kakaknya merupakan seorang peniaga kedai runcit berdekatan tapak pasar malam Titi Chai di Utan Aji dan wanita itu tidak pasti punca kakaknya menghilangkan diri.
“Kami telah mencari kakak di rumah saudara mara dan rakan-rakannya namun tidak berjaya mengesannya. Laporan polis juga telah dibuat oleh pihak keluarga,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Noor Maszura di talian 014-2884351 atau anak saudara kakaknya, Mohd. Rahmat Alhafiz Razak di talian 019-3296044. – KOSMO! ONLINE