PETALING JAYA – Bersesuaian dengan wajah baharu yang dibangunkan secara berperingkat di hotel popular di sini, Hilton Petaling Jaya (Hilton PJ) turut juga mengubah suai restoran Cina ikoniknya dengan konsep, tema yang lebih moden dan terbaharu.
Restoran Toh Yuen yang terletak di paras satu dalam bangunan hotel tersebut kini tampil lebih segar dan bergaya dengan dilengkapi hiasan dalaman unik selain susunan perabot moden untuk menawarkan pengalaman lebih menarik, santai tetapi mewah kepada para pengunjungnya.
Lebih menarik, ia turut menampilkan ruang dapur bercermin yang membolehkan pengunjung melihat sendiri sebuah dapur khas yang dimuatkan dengan alat pemanggang istimewa khususnya untuk menu itik panggang yang dibeli dari luar negara.
Ruang dalaman restoran yang boleh memuatkan kira-kira 150 pengunjung dalam satu-satu masa itu juga memiliki empat bilik persendirian yang luas untuk memenuhi keperluan pengunjung menikmati makan secara kasual bersama keluarga dan rakan rakan atau mengadakan majlis istimewa.
“Restoran Toh Yuen juga bersesuaian dijadikan lokasi sesuai untuk majlis perkahwinan, program persendirian dan juga pertemuan perniagaan eksklusif,” jelas kenyataan yang diedarkan bersempena majlis preview menu terbaharu yang diperkenalkan di Toh Yuen restoran di sini baru-baru ini.
Seiring pengubahsuaian restoran Cina yang mendapat bekalan bahan mentah daripada pembekal memiliki sijil halal itu, gabungan idea cef berpengalaman dalam bidang masakan Cina telah memperbaharui menu sedia adanya dengan menawarkan hidangan signatur terbaharunya yang berasaskan itik.
Antara menu popularnya adalah Roasted Peking Silver Hill London Duck yang ditawarkan pada harga serendah RM168 hingga RM268..
“Menu ini agak istimewa dan premium kerana isi dagingnya yang begitu lembut dan berair dengan memiliki kulit yang ranggup sekali gus memberi rasa yang sangat lazat selain dilengkapi dengan penkek halus, timun segar, daun bawang dan juga sos hoisin.
“Pengunjung juga boleh menambah kelainan dalam hidangan untuk memilih kaedah memasak itik bagi menu unik seperti Braised Shredded Duck with Ee Fu Noodle, Fried Rice with Preserved Olive and Diced Duck atau Wok-Fried Duck with Trio Peppercorn,” jelasnya.
Selain itu, Toh Yuen juga menawarkan set menu makan tengahari berasaskan dim sum yang di tawarkan pada harga RM99 juta seorang yang mana hidangan dim sum berkonsep premium itu menawarkan pilihan Dim Sum Trio Combination Platter with Steamed Premium Siew Mai with Crab Roe, Steamed Scallop and Spinach Dumpling, and Baked Chicken Tart with Abalone.
Terdapat juga pilihan hidangan lain seperti Braised Crab Meat Broth served in a Mini Pumpkin, Braised Spinach Bean Curd with Assorted Mushrooms, Fried Rice with Assorted Seafood and Truffle dan set pemanis mulut seperti Steamed Matcha Bun with Salted Egg Yolk Lava and Double Boiled Red Date Soup with Longan and Peach Raisin.
Menu ala carte yang menyelerakan juga termasuk Sweet and Sour Diced Chicken with Figs, Stir-Fried Wagyu Beef with Porcini Mushrooms dan Trio of Peppercorn serta Golden Butter Prawns with Cashew Nuts. -KOSMO!ONLINE