fbpx

[VIDEO] CEO GISBH, 21 individu tiba di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada individu yang tiba di Mahkamah Selayang, sebentar tadi.

SELAYANG – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd. Ali dan 21 lagi individu tiba di Mahkamah Selayang, di sini sebentar tadi.

Mereka tiba dengan menaiki trak polis pada pukul 9.30 pagi.

Difahamkan, mereka semua akan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Semalam media melaporkan seramai 22 individu termasuk Nasiruddin akan dituduh, hari ini.

Selain Nasiruddin, turut dituduh di bawah seksyen sama ialah isterinya, Azura dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan telah dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), petang semalam.

Pada 16 Oktober lalu, Nasiruddin antara 16 individu yang ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu, 58 individu ditahan di bawah SOSMA termasuk 16 orang yang merupakan pengurusan tertinggi GISBH.

Mereka merupakan antara 415 individu yang ditahan dalam Op Global sehingga fasa keempat.

Selain itu, seramai 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI