fbpx

Tertuduh wanita batuk tanpa henti, prosiding GISBH terganggu seketika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada tertuduh ketika tiba di di Mahkamah Sesyen, Selayang, hari ini.

SELAYANG – Prosiding kes bagi pertuduhan 22 individu kumpulan jenayah terancang, GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di Mahkamah Sesyen, di sini terganggu seketika apabila salah seorang tertuduh wanita batuk tanpa henti seperti menahan muntah.

Ekoran keadaan itu, pihak polis yang berada di mahkamah kemudian memberi bantuan selain turut menenangkan tertuduh wanita iaitu Siti Salmiah Ismail, 57.

Hakim, Lailatul Zuraida Harron @ Harun yang mendengar prosiding kes kemudiannya mengarahkan, Siti Salmiah dan tertuduh lain yang mempunyai masalah kesihatan, diberikan rawatan sewajarnya.

Sejurus selepas prosiding, pihak pembelaan yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd. Ali berkata anak guamnya dan beberapa tertuduh, mempunyai penyakit kronik.

Peguam Datuk Rosli Kamaruddin berkata, ini kerana sebahagian besar anak guamnya merupakan warga emas, termasuk Nasiruddin yang menghidap diabetes tahap empat.

“Semasa dibawa ke mahkamah, ada yang tidak sihat dan mahkamah juga telah menasihati mereka mendapatkan rawatan dengan segera.

Semua sedia maklum, mereka sudah lama ditahan oleh pihak polis, hampir dua bulan,” katanya selepas prosiding kes hari ini.

Justeru beliau berkata, pihak pembelaan telah mendapat kerjasama daripada pihak polis agar semua anak guamnya, mendapatkan perhatian yang diperlukan.

Tambah beliau, sepanjang berada dalam tahanan di Lokap Berpusat Shah Alam, tertuduh-tertuduh dilayan dengan baik termasuk menyediakan pasukan perubatan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan.

Terdahulu Nasiruddin, isterinya Datin Azura Md Yusof dan 20 lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak empat tahun lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Selain Nasiruddin, 65, dan Azura, 57, seramai 20 lagi individu yang didakwa ialah Hasnan Abd Hamid, 53, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 32, Mohd. Shukri Mohd. Noor, 53, Mokhtar Tajuddin, 60, Shuhaimi Mohamed, 56, Muhammad Afdaluddin Latif, 34, Mohamad Sayuti Omar, 35, Mohd. Fazil Md Jasin, 57, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 51, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 34, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.

Tertuduh lain ialah Hamimah Yakub, 72, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly,44, Mahani Kasim, 54, Siti Hajar Ismail, 51, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27, Nurul Jannah Idris, 28, Nur Jannah Omar, 32, serta Siti Salmiah.

Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang di sini antara Oktober 2020 hingga 11 September lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Disember ini bagi sebutan semula kes bagi semua tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI