fbpx

Seni di Malaysia berevolusi pesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AWANG DAMIT AHMAD berpengalaman luas dalam bidang seni yang banyak menghasilkan karya berkualiti di pasaran global.

BIDANG seni di negara ini semakin berkembang seiring dengan pertambahan artis-artis seni berbakat yang telah menghasilkan pelbagai hasil karya bernilai tinggi.

Salah seorang artis seni yang telah membina nama di persada antarabangsa ialah Awang Damit Ahmad.

Awang berpendapat, seni di Malaysia telah mengalami evolusi yang pesat, terutamanya dengan munculnya lebih ramai seniman muda yang berani bereksperimen dengan media baharu dan tema kontemporari.

“Kita semakin dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk globalisasi dan teknologi digital, tetapi pada masa yang sama, ia tetap mengekalkan elemen tradisional yang menjadi identiti budaya kita.

“Dalam konteks seni Asia Tenggara, saya melihat seni Malaysia akan terus berkembang dengan mengintegrasikan nilai-nilai tempatan dan serantau, sambil turut menyesuaikan diri dengan trend global.

“Ini akan mewujudkan dialog antara seni tradisional dan moden, yang memberi ruang kepada seni Malaysia untuk terus relevan dan dinamik di pentas antarabangsa,” jelasnya.

Mengulas tentang perjalanan menjadi artis seni, Awang mengisahkan sebelum terlibat bidang itu, perjalanan kariernya bermula sebagai seorang pekerja Telekom.

Namun, perjalanannya berubah apabila melangkah kaki di Kuala Lumpur.

“Karya Jendela di Angkasa, (1969), oleh Almahrum Datuk Syed Ahmad Jamal adalah transisi perjalanan saya sebagai seorang seniman.

ANTARA karya yang dihasilkan oleh Awang Damit Ahmad.

“Saya sentiasa dikelilingi dengan persekitaran alam semula jadi serta kehidupan kampung yang telah memberi impak besar dalam membentuk kesedaran seni saya.

“Selepas menyambung pengajian dalam bidang seni di Institut Teknologi Mara (ITM), saya mula mendalami pelbagai teknik dan media seni,” jelas anak kelahiran Kampung Kuala Penyu, Sabah itu.

Tambah beliau, perjalanan dalam bidang seni diteruskan dengan pameran pertamanya pada tahun 1980-an yang mengetengahkan karya dari siri Essence of Culture dan Iraga.

Siri itu menggambarkan pengalaman hidupnya terhadap alam, yang menjadi asas kepada perkembangan bahasa visualnya.

Mengulas lanjut tentang dirinya, Awang berkata, inspirasi untuk berkarya datang daripada pelbagai sumber, terutamanya persekitaran budaya dan kehidupan seharian.

Alam semula jadi, kehidupan desa, serta pengalaman hidup bersama keluarga di kampung menjadi sumber utama inspirasinya.

“Selain itu, saya juga terinspirasi oleh sejarah, tradisi Melayu, dan elemen-elemen spiritual.

“Setiap pengalaman ini diterjemahkan ke dalam siri-siri karya yang menggambarkan kenangan dan pengamatan saya terhadap kehidupan masyarakat serta identiti budaya kita,” jelasnya.

Selain itu, artis seni visual yang terkenal dengan karya seni komiknya, Fawwaz Sukri juga turut berkongsi perjalanan menjadi seorang artis seni.

Fawwaz berkata, beliau memilih untuk terlibat dalam bidang itu kerana minatnya yang suka berce­rita secara visual.

Menurutnya, sejak kecil hobinya adalah membaca komik.

“Komik kegemaran saya adalah The Kindaichi Case Files, Dragon Ball dan Samurai X.

“Saya pernah menghabiskan semua wang saku untuk membeli komik dan saya sentiasa berfikir untuk menjadi artis komik suatu hari nanti,” katanya.

FAWWAZ menggunakan konsep komik untuk meluahkan idea kreativitinya dalam seni.

Ketika melanjutkan program asasi seni di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Fawwaz telah menunjukkan semua komiknya kepada pensyarahnya dengan harapan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang reka bentuk grafik.

Tetapi disebabkan bidang itu tidak begitu popular pada masa itu, pensyarahnya mengatakan kemahiran sebenarnya adalah dalam bidang seni halus.

“Pada mulanya saya tidak suka dengan keputusan untuk memilih belajar dalam bidang seni halus, tetapi saya rasa nasib saya telah ditakdirkan oleh Allah SWT dan apabila difikirkan kembali, saya rasa ia adalah keputusan yang betul.

“Itulah sebabnya sekarang saya bercerita dalam bentuk lukisan ke­rana minat saya terhadap komik,” ujar Fawwaz.

Dalam pada itu, Fawwaz menjelaskan, sepanjang terlibat dalam bidang seni kreatif secara serius, dia sendiri tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Cabaran pertama yang dihadapinya adalah untuk mencari idea dan menghasilkan visual yang unik kepada orang ramai.

“Cabaran kedua berkaitan kewangan, bagi saya terdapat banyak bakat seni di Malaysia, tetapi saya merasakan institusi tidak aktif mengumpul karya seni berbanding sebelum ini.

“Apabila karya terjual, bagi saya ini memberi semangat untuk terus berkarya.

“Ibarat seperti saintis diberi geran bagi melakukan kajian, saya menganggap wang hasil jualan itu memberi semangat untuk artis seni melabur bagi menghasilkan karya yang lebih baik daripada sebelumnya,” jelas artis ini.

Tambahnya, cabaran ketiga adalah kurang penghargaan terhadap seni oleh masyarakat umum.

Fawwaz mempunyai impian agar suatu hari masyarakat daripada segenap lapisan dapat berkunjung dan memenuhi galeri seni setiap hari bagi membincangkan dan menghargai bakat seniman tempatan.

FAWWAZ bercerita dalam bentu lukisan kerana minatnya terhadap komik.

Dalam pada itu, Fawwaz berpendapat bahawa seni di Malaysia secara amnya telah berkembang menjadi sesuatu yang lebih unik.

Menurutnya, kebanyakan bakat tempatan menggabungkan budaya tempatan dalam visual yang menghasilkan satu karya yang unik.

“Kebanyakan galeri dan institusi persendirian memainkan peranan utama dalam membawa seni Malaysia ke peringkat antarabangsa dan salah satunya adalah melalui CIMB Artober.

“Selain itu, kerajaan juga boleh memberi sedikit insentif untuk menggalakkan orang ramai membeli karya seni sekali gus dapat memastikan industri ini sentiasa terus berkembang,” katanya.

Perkembangan ini bukan sahaja daripada idea dan bakat anak seni tempatan tetapi juga disokong dan mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak termasuk institusi perbankan.

Ia bertujuan untuk membantu mengangkat martabat seni negara ke peringkat yang lebih baik pada masa depan.

Kedua-dua artis seni visual ini yang diwakili oleh Segaris Art Centre akan mempamerkan hasil seni mereka di CIMB Artober Art & Soul 2024, anjuran CIMB Group Hol­dings Berhad.

Program tersebut akan berlangsung pada 25 hingga 27 Oktober ini di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

CIMB merupakan antara penggerak utama kepada perkembangan seni di Malaysia.

Program yang menjadi acara tahunan itu merupakan satu inisia­tif seni, budaya dan gaya hidup yang bertujuan untuk memartabatkan ekosistem seni Malaysia.

Ia juga dapat menyediakan ruang untuk penglibatan dalam kalangan peminat seni dan gaya hidup dan untuk maklumat lanjut tekan SINI. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI