BAGAN DATUK – Tembelang satu sindiket didalangi dua lelaki yang menyeleweng 5,550 liter diesel di sebuah stor haram terbongkar apabila diserbu di Kampung Melayu Jenderata, Hutang Melintang di sini semalam.
Serbuan pada pukul 12.18 tengah hari itu turut merampas tangki skid dan tong berisi diesel, pam minyak, sebuah pacuan empat roda dan lori tangki dengan nilai keseluruhan berjumlah RM280,539.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, stor itu dipantau selama seminggu sebelum diserbu.
“Kita berjaya mengesan sebuah lori tangki memasuki premis untuk memindahkan diesel ke dalam tangki skid. Serbuan kemudian menahan pemandu lori dan pemilik premis berusia 50-an,” katanya.
Menurut Kamalludin, pemeriksaan menemui 50 liter cecair disyaki minyak diesel di dalam sebuah tong dan 5,500 liter lagi cecair di dalam sebuah tangki skid.
Tambahnya, pemilik premis didapati gagal mengemukakan surat kebenaran, lesen mahupun permit menyimpan barang kawalan apabila diminta. – KOSMO! ONLINE