KUALA LUMPUR – Satu pelan perancangan spatial marin Malaysia akan dibangunkan bagi dijajarkan dan memacu pelaksanaan Ekonomi Biru dan tadbir urus kelautan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan yakin pembangunan dasar yang jelas ini akan membolehkan potensi lautan negara dapat dioptimumkan sebagai sumber ekonomi negara, di samping meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek pelaburan di Malaysia.
“Meja bulat rundingan juga bersetuju untuk terus memperkasa pembangunan infrastruktur mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) di setiap bangunan dan tempat awam.
“Ini selaras dengan prinsip MADANI yang menekankan konsep inklusiviti bagi memastikan tiada kelompok yang diabaikan dalam menikmati pembangunan Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-46 hari ini.
Katanya, platform perbincangan itu penting antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meneliti perkara terkait perancangan pembangunan bandar, desa dan guna tanah negara untuk dimanfaatkan secara bersama. – KOSMO! ONLINE