fbpx

Penculik Thailand naik van putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESEJ tular di media sosial berkaitan kejadian culik oleh van bernombor pendaftaran Thailand di Kampung Padang, Gerik.

GERIK – Dua pelajar perempuan tingkatan dua nyaris diculik penjenayah yang menaiki van putih dan kelabu menggunakan nombor pendaftaran negara jiran dalam kejadian berasingan di Kampung Padang di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kejadian pertama berlaku pada pukul 6.45 pagi ketika mangsa sedang mengayuh basikal ke sekolah.

Katanya, tiba-tiba sebuah van kelabu berhenti di depan mangsa manakala satu lagi berwarna putih menghimpit di tepi sebelah kanan. Kedua-duanya menggunakan nombor pendaftaran negara jiran.

“Suspek mengekori mangsa sehingga di depan tanah perkuburan kampung. Seorang wanita yang mengenali mangsa kemudian bertindak memanggil remaja tersebut menyebabkan suspek melarikan diri.

“Kejadian kedua berlaku pada pukul 3.20 petang ketika mangsa berusia 14 tahun berjalan kaki hendak pulang ke rumah dari sekolah sebelum dihimpit van putih dinaiki dua lelaki memakai pelitup muka,” katanya.

Menurut Zulkafli, suspek telah menarik beg sekolah dan diseret hingga terjatuh ke kawasan tanah perkuburan Kampung Padang.

Tambahnya, mangsa diselamatkan abangnya yang tiba di lokasi lalu menendang salah seorang suspek hingga menyebabkan mereka lari.

Menurut Zulkafli, polis sedang giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular mesej di media sosial dipercayai daripada kumpulan sembang aplikasi Whatsapp berkaitan kejadian culik oleh individu yang menaiki van dengan nombor pendaftaran Thailand.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI