ALOR SETAR – Polis memberkas seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) kerana menipu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia (CSM) di rumahnya di sini pada pukul 3 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Jitra esok untuk reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, wakil Pertubuhan Kebajikan Seberang Perai, Eng Hiap Boon meminta agar semua mangsa yang pernah diperdaya tampil membuat laporan bagi membantu polis menjalankan siasatan.
“Saya sudah lama mendedahkan mengenai kegiatan licik individu ini menipu mangsa dari seluruh negara. Setakat ini dianggarkan lebih 20 NGO telah ditipu melibatkan hampir RM200,000.
“Beberapa lagi NGO tampil kata pernah ditipu selepas kisah itu disiarkan akhbar,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Menurut Hiap Boon, suspek sanggup membuat surat palsu menggunakan kepala surat universiti tempatnya belajar selain mengemukakan slip transaksi palsu pembelian komputer riba.
“Mungkin juga ada yang tidak ambil kisah atau malu hendak mengaku kerana ada antara individu ditipu mempunyai gelaran Tan Sri serta Datuk Seri,” katanya.
Dalam pada itu Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, ada dalam kalangan mangsa yang perlu melalui sesi kaunseling setelah individu berkenaan tidak membayar semula duit yang dipinjam.
“Suspek perlu dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran. Jika tidak, lebih ramai orang yang merasa bimbang atau ragu-ragu untuk menghulurkan bantuan selepas ini,” katanya.
Hari ini Kosmo! melaporkan taktik seorang pelajar IPT yang mengaut keuntungan dengan berpura-pura menjadi ‘miskin’ untuk mendapatkan wang bagi tujuan bermain judi online terbongkar selepas perbuatan itu dikesan sebuah NGO.- KOSMO! ONLINE