fbpx

Libas parang, baling kasut selepas jiran minta alih kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – Hanya kerana diminta mengubah kenderaan, dua lelaki naik angin dengan salah seorang daripada mereka bertindak melibas parang dan membaling kasut ke arah dua jiran di Taman Meriah Batu Dua, di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu berlaku apabila pengadu, seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun bersama seorang jiran pergi ke rumah suspek untuk meminta mereka mengubah dua kenderaan yang berada di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dua kenderaan tersebut dikatakan menghalang laluan lori sampah untuk mengambil sampah di rumah pengadu dan jirannya.

“Dua suspek kemudian membuat bising sebelum salah seorang daripada mereka mengeluarkan parang dan melibas ke arah pengadu serta jiran sambil mengugut dengan berkata, ‘tengoklah apa akan terjadi’.

“Suspek seterusnya membaling kasut dan terkena pada pengadu. Pengadu dan jiran yang takut diapa-apakan terus melarikan diri dan membuat laporan polis,” katanya di sini hari ini.

Susulan itu, pihak polis bertindak menahan dua suspek lelaki berusia 35 dan 43 tahun dan siasatan mendapati, pengadu dan jirannya tinggal di kawasan perumahan tersebut sejak 30 tahun lalu manakala kedua-dua suspek baharu sahaja menyewa di taman perumahan tersebut kira-kira tiga bulan lepas.

“Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, selain turut mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” ujarnya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI