fbpx

Kastam rampas rokok, minuman keras bernilai RM2.7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
1. MOHD ASRI (kanan) menunjukkan sebahagian daripada rokok dan minuman keras yang dirampas dalam sidang akhbar di Wisma Kastam di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas rokok dan minuman keras yang diseludup bernilai kira-kira RM2.7 juta dalam satu serbuan di dua buah gudang di Taman Perindustrian Perdana Bukit Palong, Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang, Mohd Asri Seman berkata, serbuan pada 28 Oktober lalu dibuat hasil aduan awam dan risikan pihaknya.

“Hasil pemeriksaan dilakukan di sebuah gudang pada pukul 8 pagi menemukan sejumlah 3,156,961 batang rokok pelbagai jenis dengan anggaran nilai sebanyak RM286,118.40 membabitkan jumlah cukai dan duti terlibat yang dianggarkan berjumlah RM2,112,205,44.

“Dalam serbuan kedua pada pukul 2 petang di sebuah lagi gudang berjaya menemukan minuman keras berjumlah 3,928.4 liter dengan anggaran nilai sebanyak RM65,538.91 membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM227,597.74,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam, di sini hari ini.

Tambahnya, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas peralatan menyuling minuman keras dan tiada tangkapan dilakukan kerana tidak ada mana-mana individu berada di gudang berkenaan semasa serbuan dilakukan.

Menurutnya, rokok tidak berkastam didapati tidak memenuhi kriteria berdasarkan Butiran Satu (1), Bahagian Dua, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Katanya bagi kes minuman keras pihaknya mendapati premis berkenaan tidak dilesenkan untuk menyuling, menapai atau mengilang minuman keras yang memabukkan dan kes disiasat mengikut Akta Eksais 1976.

Katanya, berdasarkan siasatan mendapati rokok dan minuman keras berkenaan adalah untuk pasaran tempatan dan pihaknya masih menyiasat sumber bahan asas minuman keras yang dibotolkan.

“Kita juga masih menyiasat sama ada terdapat kaitan antara dua kes ini dan masih menyiasat tempoh operasi kedua-dua aktiviti yang menyalahi undang-undang ini,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, JKDM Pahang telah berjaya merampas pelbagai barangan tidak bercukai seperti rokok, minuman keras, kenderaan dan mercun bernilai kira-kira RM11.7 juta melibatkan 156 kes.

Katanya daripada jumlah itu 51 individu telah berjaya ditahan dan sembilan individu telah didakwa manakala enam individu sedang menjalani hukuman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI