fbpx

Juara remaja dunia idam aksi Sukan SEA 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMSYAR berada dalam kelas tersendiri selepas berjaya meraih pingat kategori individu lelaki B-19 Piala Dunia Woodball di China baru-baru ini.

PETALING JAYA – Juara remaja dunia woodball, Amsyar Sirhan Saifullah Saharuddin kini menyasarkan satu lagi pencapaian besar dalam kariernya apabila berhajat membuat penampilan sulung Sukan SEA Thailand 2025 dijadualkan pada Disember tahun depan.

Selepas merangkul juara individu kategori bawah 19 tahun (B-19) pada Kejuaraan Woodball Piala Dunia di Shaoxing, China baru-baru ini, Amsyar mahu mengalihkan fokus kepada cabaran lebih besar dalam usaha mewakili Malaysia di pentas berprestij itu tahun depan.

Selain itu, penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis tersebut juga berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya membantu skuad negara meraih perak dalam kategori berpasukan lelaki B-19.

“Perancangan akan datang ialah saya menyasarkan dapat menyertai kejohanan Sukan SEA di Thailand pada tahun hadapan,” kata Amsyar yang baru berusia 18 tahun.

Mengimbas kembali persiapan dan cabaran di Kejuaraan Dunia, Amsyar berkongsi latihan intensif selama tiga minggu untuk memperbaiki teknik hayunan sebelum berehat seminggu menjelang kejohanan.

Meskipun sasaran awalnya hanya untuk berada dalam lima teratas, tekanan tinggi semasa perlawanan final khususnya ketika bersaing sengit dengan pemain dari Taiwan telah menguji kekuatan mentalnya, namun ketenangannya semasa saingan membuahkan hasil.

“Terima kasih kepada Persatuan Woodball Malaysia, terutamanya Presiden Elaine Tan yang memberikan peluang dan menaja saya. 

“Tak lupa juga penghargaan kepada Persatuan Woodball Negeri Perlis, Presiden Datuk Kamaruddin Husin dan UiTM Arau atas sokongan padu dan pelepasan kelas yang membolehkan saya memberi tumpuan penuh kepada kejohanan ini,” ujar Amsyar.

Kejayaan Amsyar menempatkannya di landasan terbaik untuk terus mendominasi arena woodball dengan potensi besar untuk mencipta lebih banyak kejutan di kejohanan-kejohanan yang akan datang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN