fbpx

Dewan Rakyat: Tze Tzin cadang gaji 13 bulan di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen blok kerajaan mencadangkan konsep gaji 13 bulan diperkenalkan secara meluas di Malaysia.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkata, sistem gaji 13 bulan itu diguna pakai di sesetengah syarikat korporat, namun belum secara meluas.

“Luar negara memang banyak. Saya ingin mencadangkannya kepada syarikat swasta dan juga kerajaan untuk difikirkan.

“Gaji rakyat Malaysia terlalu rendah dan berada di perangkap negara berpendapatan sederhana terlalu lama,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tze Tzin berkata, cadangan beliau adalah pada Disember setiap tahun pekerja dibayar gaji dua bulan untuk membuat pelaburan atau menampung perbelanjaan besar seperti persekolahan anak-anak.

Selain itu, Tze Tzin membangkitkan mengenai kos perubatan di hospital swasta yang tidak mempunyai mekanisme kawalan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Kata beliau, mekanisme kawalan itu dapat memastikan kerajaan tidak dibebankan dengan bilangan pesakit yang bertambah di hospital kerajaan.

“Jika kita tak kawal hospital swasta, pesakit yang dulu berkemampuan akan menjadi tidak mampu dan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI