fbpx

Dewan Rakyat: Masukkan kawal selia tatacara operasi hotel dalam Akta 482

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KING SING.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung kewajaran memasukkan peruntukan mengenai pemberian lesen dan kawal selia tatacara operasi hotel ke dalam Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perbincangan dan mesyuarat berkenaan perkara itu akan diadakan dengan Kementerian Perumahan serta Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut beliau, ketika ini Akta 482 memperuntukkan berkenaan keperluan untuk pendaftaran premis penginapan pelancongan termasuk hotel, tetapi kawal selia dan penguatkuasaan operasi hotel bukan di bawah MOTAC.

“Perkara berkaitan rumah tumpangan dan rumah pemalaman diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana yang diperuntukkan dalam Senarai II – Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bermakna, kawalan rumah tumpangan dan rumah pemalaman adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang diselia oleh PBT di negeri masing-masing,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) yang membangkitkan isu penetapan waktu daftar masuk dan keluar oleh pengusaha hotel.

King Sing berkata, MOTAC juga akan mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri dalam menyelesaikan isu yang merangkumi pengambilan pekerja asing dalam sektor perhotelan.

“Ini bagi memastikan standard dan kualiti perkhidmatan premis penginapan pelancong sentiasa pada tahap yang tinggi terutamanya dalam melaksanakan kempen Melawat Malaysia 2026,” katanya.

MOTAC baru-baru ini menggesa semua pengusaha hotel melaraskan masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, tular tindakan sesetengah hotel yang menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula 4 petang dan keluar pada pukul 11 pagi.

Tindakan itu mencetuskan perbincangan netizen yang rata-ratanya merasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI