fbpx

Dewan Rakyat: 3,171 unit pengecas EV awam dipasang seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,171 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) awam telah dipasang di seluruh negara sehingga 30 September lalu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, 813 unit adalah jenis Direct Current (DC), manakala 2,358 unit jenis Alternating Current (AC).

Jelas beliau, jumlah itu berdasarkan kepada maklumat yang dikumpul oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

“Nisbah jumlah kemudahan pengecas EV sedia ada kepada jumlah Battery Electric Vehicle (BEV) iaitu 1 kepada 9.

“Jumlah pengecas awam ini adalah mencukupi untuk menampung kegunaan kira-kira 31,000 unit BEV bagi kenderaan penumpang yang telah berdaftar sehingga kini” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) berhubung jumlah stesen pengecasan EV yang telah beroperasi sepenuhnya atau sedang dalam proses pemasangan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, sehingga 30 September lalu jumlah EV dalam negara mencecah 33,319 unit sekali gus menunjukkan sasaran 20 peratus daripada jumlah tahunan kenderaan baharu menjelang 2030 jenis EV masih relevan.

Terdahulu, beliau memaklumkan, kerajaan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) pada 10 Mei 2024 bersetuju sasaran asal pemasangan 10,000 unit pada akhir 2025 untuk kemudahan pengecas EV awam dikekalkan.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sasaran kemudahan pengecas EV jenis DC ditingkatkan daripada 1,000 unit kepada 1,500 unit, manakala sasaran kemudahan pengecas EV jenis AC sebanyak 8,500 unit.

Bagaimanapun kata beliau, kos pembinaan atau pemasangan pengecas awam adalah tinggi terutama jenis DC atau pengecas pantas (fast charger) menyebabkan pengusaha menghadapi kesukaran membangunkan pengecas awam di kawasan yang mempunyai permintaan rendah seperti di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Kata beliau, bagi membantu menyelesaikan isu penebaran bilangan pengecas awam yang tidak sekata di antara kawasan bandar dan luar bandar, kerajaan telah melaksanakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa tempatan.

Tambah beliau, MITI juga telah mengadakan libat urus dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya, rangkaian hypermarket, Persatuan Pengurusan Kompleks Membeli Belah serta Persatuan Hotel dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia bagi menggalakkan premis-premis berkaitan disokong dengan perkhidmatan pengecas awam EV. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI