fbpx

‘Cicak’ kena tangkap, 22 kes pecah rumah selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA barang kemas yang dirampas bersama suspek digelar ‘Cicak’ dalam serbuan di sebuah hotel di Taman Angkasa Nuri, Melaka.

MELAKA – Seorang lelaki yang digelar ‘Cicak’ akhirnya berjaya diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam 22 kes pecah rumah di sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, sejak awal tahun ini.

Suspek yang berusia 42 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Risikan/ Operasi/ Rekod Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah kira-kira pukul 4.20 petang, Rabu minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, suspek ditahan di sebuah bilik hotel di Taman Angkasa Nuri, bersama-sama barangan dipercayai milik mangsa rompakan bernilai kira-kira RM150,000.

“Suspek digelar Cicak ini dikesan aktif melakukan pecah rumah secara solo sejak awal tahun ini dengan menyasarkan rumah tidak berpenghuni.

“Suspek menggeledah rumah dan mencuri barangan berharga termasuk barang kemas,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek terlibat dalam 10 kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah.

Selain itu, satu kes masing-masing di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata, manakala dua lagi Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Antara barangan dirampas bersamanya adalah 10 buah telefon bimbit, 11 bentuk cincin emas, empat utas rantai leher dan gelang tangan emas, dua bentuk subang emas, sejumlah resit pertukaran wang asing dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.

“Pasukan turut menemui beg hitam yang di dalamnya mengandungi satu plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 5.34 gram,” ujarnya.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kini dia direman selama 10 hari sehingga 25 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI