GEORGE TOWN – Status pengendali pasukan Penang FC, Akmal Rizal Rakhli dikatakan bakal diketahui menerusi satu pengumuman yang akan diterajui barisan pengurusan tertinggi skuad itu nanti.
Keadaan ini tercetus berikutan keputusan beberapa perlawanan yang tidak memuaskan membabitkan skuad yang mendapat jolokan Harimau Kumbang itu dalam saingan Liga Super 2024 musim ini.
Pada Jumaat ini, Penang FC akan bertemu dengan pasukan Sabah FC, yang kini berada di kedudukan keempat Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Kehadiran anak kelahiran dari Jitra, Kedah selaku jurulatih pasukan juga amat ditunggu-tunggu peminat bola sepak tempatan terutama penyokong tegar Penang FC.
Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew ketika dihubungi Kosmo! dengan ringkas mengesahkan kehadiran Akmal bersama pasukan bimbingannya Jumaat ini.
“Ya (ada), sehingga pengumuman selanjutnya,” katanya bagi menjawab status keberadaan jurulatih itu dengan pasukan terbabit, ketika ini.
Semalam, pihak pengurusan Penang FC Sdn. Bhd. menerusi satu kenyataan di Facebook memaklumkan, satu mesyuarat Lembaga Pengarah telah diadakan pada 21 Oktober lalu bagi membincang dan membuat beberapa keputusan penting serta drastik untuk masa depan pasukan Penang FC.
“Dalam mesyuarat ini, beberapa perkara penting telah dibincang dan dipertimbangkan bagi memastikan kepentingan pasukan dan penyokong diutamakan.
“Keputusan yang diambil ini secara khusus memberi tumpuan untuk mengukuhkan prestasi pasukan dan memulihkan komitmen pemain serta barisan kejurulatihan terhadap kecemerlangan di dalam dan di luar padang.
“Pengurusan Penang FC akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan penting dan drastik ini yang telah dibuat setelah beberapa aspek dimuktamadkan dalam waktu terdekat ini,” ujarnya.
Menurusi hantaran itu juga, pihak pengurusan Penang FC turut mengucapkan terima kasih kepada sokongan para penyokong meskipun beberapa keputusan perlawanan yang tidak memuaskan oleh pasukan Penang FC.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan Akmal menyerahkan nasibnya kepada pucuk pimpinan tertinggi pasukan itu setelah gagal mencipta kemenangan dalam tiga perlawanan di laman sendiri.
Ahad lalu, pasukan itu sekali lagi tewas 0-1 dengan pasukan Sri Pahang FC pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang sekali gus membuatkan peminat tegarnya pulang dengan perasaan hampa.
Pada separuh musim ini, Penang FC hanya mampu meraih dua kemenangan daripada 12 perlawanan dengan satu daripadanya semasa bertemu Kelantan United 3-0 di laman sendiri, lebih dua bulan lalu. – KOSMO! ONLINE