PASUKAN Selangor FC tidak menolak kemungkinan untuk ‘parkir bas’ dalam usaha melakar kejutan menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL) 2 menentang wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors malam ini.
Jurulatih skuad Gergasi Merah, Nidzam Jamil mengakui kualiti yang ada pada kelab gergasi Asia Timur itu tidak boleh dipertikai selepas berjaya meledak 10 gol dalam dua aksi pertama peringkat Kumpulan H.
Menurut Nidzam, perancangan taktikal yang sudah diatur dalam memastikan pasukan dapat mencuri mata berharga terutama apabila memiliki kelebihan bermain di gelanggang keramat Stadium MB Petaling Jaya nanti.
“Secara jujur, sudah tentu kami mahu keputusan dahulu (berbanding corak permainan menarik). Namun, segalanya bergantung dengan beberapa perkara seperti keupayaan pemain atau keadaan cuaca nanti.
“Bagi saya, mereka berjaya meledak 10 gol dalam dua perlawanan sebelum ini adalah perkara yang luar biasa dan benteng pasukan kami perlu mengekalkan aksi disiplin (jika mahu melakar keputusan positif),” katanya pada sidang media di Petaling Jaya semalam.
Mengulas lanjut, Nidzam turut mengesahkan kem Merah Kuning dilanda kecederaan apabila tiga tonggak import utama, Noor Al Rawabdeh, Safuwan Baharudin dan Alvin Fortes mungkin disisihkan.
“Saya boleh sahkan Al Rawabdeh mengalami kecederaan serius melibatkan Ligamen Anterior Cruciate (ACL) dan perlu diketepikan lebih sembilan bulan.
“Safuwan pula masih mengalami kecederaan, manakala saya masih lagi menanti pengesahan mengenai Fortes yang dilihat belum cergas sepenuhnya,” kata Nidzam.
Sementara itu, tonggak muda Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar tekad untuk mengukuhkan benteng pertahanan dan menyeru rakan-rakan sepasukan agar fokus sepanjang 90 minit perlawanan.
“Kita tahu kualiti jentera serangan pasukan lawan tetapi kita tidak boleh fokus kepada pertahanan sahaja. Semua pemain perlu memberi kerjasama terutama ketika bertahan,” katanya.