fbpx

779 kes kemalangan maut babit pelajar sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Yusri (depan, tengah) ketika sidang akhbar sempena Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Op Khas Motosikal 2024 di SMK Anderson, hari ini.

IPOH – Sebanyak 779 kes kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah dilaporkan di seluruh negara sejak Januari hingga September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, jumlah itu mewakili 20 peratus daripada 4,043 kes nahas jalan raya yang direkodkan bagi tempoh sama.

“Jumlah kes yang dilaporkan ini bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan kehilangan menyayat hati bukan sahaja bagi keluarga, malah komuniti sekeliling.

“Bagi pihak JSPT, keadaan ini sudah tentu amat membimbangkan, malah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi, kita sahut kebimbangan ini dengan mengadakan operasi khas yang memberi tumpuan kepada motosikal kerana menyumbang kes tertinggi termasuk kemalangan maut berbanding kenderaan jenis lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Op Khas Motosikal 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, di sini hari ini.

Berdasarkan statistik, seramai 498 pelajar terlibat dalam aktiviti lumba haram bagi tempoh sembilan bulan tahun ini. Mereka yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan itu kebanyakannya berusia 17 tahun dan ke bawah.

Jelasnya, Op Khas Motosikal 2024 yang dilancarkan di seluruh negara sejak 12 Ogos hingga 12 September lalu berjaya menurunkan kadar kemalangan maut apabila merekodkan 321 kes tahun ini berbanding 434 kes tahun lalu.

Malah katanya, jumlah kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal juga mencatatkan penurunan sebanyak 324 kematian berbanding 436 kematian tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI