BIARPUN tewas dua perlawanan pertama, ketua jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan, I. Vikneswaran tetap optimis mampu memperbaiki kedudukan dalam saingan Piala Sultan Johor (SOJC) ketika ini.
Vikneswaran berkata, skuad Young Tigers mampu mencipta kejutan apabila bertemu juara tiga kali, India pada aksi ketiga di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam ini.
Walaupun tampak mustahil tetapi Vikneswaran tidak menganggap ia sesuatu yang sukar buat anak-anak buahnya menundukkan India yang ketika ini berada di kedudukan pertama setelah merekodkan dua kemenangan.
“India bermula dengan baik apabila menang dua perlawanan dengan aksi yang meyakinkan, namun itu tidak bermakna mereka akan menang semua perlawanan.
“Pasukan tercorot (Malaysia) tidak semestinya akan terus dirundung malang. Kita perlu rebut peluang ini untuk membuktikan kemampuan kita mampu pamer kebangkitan dan beraksi dalam tekanan,” katanya.
Vikneswaran berkata, pemain perlu mengambil pengajaran apabila dibelasah 1-4 oleh Jepun kelmarin setelah tewas 2-3 kepada New Zealand dalam aksi pembukaan supaya tidak melakukan kesilapan mudah dan memanfaatkan peluang terhidang sebaiknya.
“Kita sepatutnya menang perlawanan itu tetapi apabila peluang yang kita dapat tidak diterjemahkan, sudah tentu kita hukum diri sendiri.
“Pemain perlu bijak mengawal permainan apabila sudah mendahului dan tidak melakukan kesilapan mudah hingga membuka ruang kepada Jepun pamer kebangkitan, itu tidak boleh berlaku lagi,” katanya.
Ketua jurulatih India, P. R. Sreejesh mahu barisannya mengekalkan rentak kemenangan dan tidak memandang rendah Young Tigers yang cuba bangkit dalam aksi itu nanti.
“Selepas menewaskan Jepun 4-2 dan Britain 6-4, kami akan berdepan satu lagi misi sukar bertemu tuan rumah. Walaupun mereka di kedudukan tercorot, itu tak bermakna mereka mudah dijinakkan,” kata penjaga gol legenda India itu.