fbpx

Suspek utama tikam lelaki Pakistan dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa maut ketika menerima rawatan di sebuah klinik swasta di Jalan Dato Keramat, semalam.

GEORGE TOWN – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan disyaki suspek utama yang menikam seorang lelaki warga Pakistan menggunakan pemutar skru sehingga mangsa maut dalam kejadian di sebuah premis perniagaan di Pulau Tikus, di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Tanjong Tokong, kira-kira pukul 12.55 tengah hari tadi.

“Dengan tertangkapnya suspek utama ini, maka kes pembunuhan membabitkan lelaki warga Pakistan telah berjaya diselesaikan oleh polis dalam masa kurang daripada 24 jam selepas menerima maklumat kematian,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Melaporkan seorang lelaki warga Pakistan maut selepas ditikam dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam di Pulau Tikus.

Mangsa berusia 48 tahun telah dibawa oleh rakannya ke sebuah klinik swasta di Jalan Datuk Keramat untuk mendapatkan rawatan dan disahkan mati ketika menerima rawatan.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, penahanan suspek utama itu berjaya dilaksanakan selepas sepasukan polis membuat tangkapan terhadap seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta merampas sebuah kereta di sebuah rumah di kawasan Tanjung Tokong, kira-kira pukul 12 tengah hari, hari ini.

“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua tangkapan telah membawa kepada serbuan kedua dan seterusnya membawa kepada penahanan suspek utama.

“Turut ditahan bersama dalam rumah tersebut adalah tiga lelaki warga tempatan yang merupakan rakan suspek bagi membantu siasatan,” katanya.

Selain itu, katanya, polis turut menahan reman tujuh lelaki dan seorang wanita warga tempatan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Tiga daripada mereka telah ditahan reman selama enam hari, manakala lima lagi ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Setakat ini, jumlah tangkapan menjadikan seramai 14 individu termasuk suspek utama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI