fbpx

Rayuan akhir kes rasuah bekas KSU, anak ditetapkan ke tarikh lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Arif (kanan) dan Ahmad Zukhairi ketika hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan satu tarikh lain bagi keputusan rayuan akhir bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Mohd. Arif Ab Rahman dan anak lelakinya yang disabitkan bersalah atas pertuduhan rasuah lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutuan) menetapkan tarikh itu selepas panel tersebut selesai mendengar hujah-hujah daripada kedua-dua belah pihak.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Azizul Azmi Adnan.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Arif, 67, didakwa bersubahat dengan Ahmad Zukhari menerima rasuah berjumlah RM627,636 di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia Kuala Lumpur antara pukul 4 petang dan 7 malam pada 23 Ogos 2016.

Ahmad Zukhairi, 42, yang merupakan anak lelaki Mohd. Arif pula didakwa atas empat pertuduhan iaitu pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan wang tunai dolar Singapura jumlah yang sama daripada Pengarah Wazlina Sdn. Bhd. (Wazlina), Mohd. Safian Mohd. Salleh pada masa, tarikh dan tempat sama.

Suapan itu sebagai upah untuk Ahmad Zukhairi dan bapanya kerana memberikan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hidbrid di empat buah pulau terpencil di Sandakan, Sabah bernilai RM60 juta kepada syarikat sekutunya, Eramaz Sdn. Bhd. (Eramaz).

Bagi pertuduhan kedua, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan dua peratus bernilai RM1.2 juta daripada Mohd. Safian sebagai upah untuknya dan bapanya kerana membantu Eramaz mendapat Projek BELB di Dorsett Grand Subang Hotel, Subang Jaya pada 17 Mac 2016.

Pertuduhan ketiga dan keempat, Ahmad Zukhairi didakwa menerima wang tunai RM130,000 daripada kontraktor Zul Fadli Rozi sebagai upah membantu syarikat HH Global Construction Sdn. Bhd. untuk mendapatkan projek cadangan membina dan menyiapkan Dataran Rekreasi di Tasik Kenyir, Terengganu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Permai Golf & Country Club, Kota Kemuning pukul 8 pagi, 18 Ogos 2016 dan di Garden Course Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada September 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Pencegahan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Semasa prosiding, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan peguam M. Athimulan mewakili Mohd. Arif dan Ahmad Zukhairi manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Norzilati Izhani Zainol @ Zainal.

Terdahulu, Hisyam ketika berhujah menyatakan, tiada bukti kredibel yang menunjukkan Mohd. Arif (perayu pertama) bersubahat dengan anaknya melakukan perbuatan rasuah.

Sementara Wan Shaharuddin pula berhujah, menerusi keterangan saksi pendakwaan ke-20 (SP20), Datuk Mohd. Safian Mohd. Salleh (Pengarah Wazlina Sdn. Bhd.) merupakan kenalan Mohd. Arif dan Ahmad Zukhairi.

“SP20 berkata, perayu kedua (Ahmad Zukhairi) memberitahu bahawa bapanya akan berpindah ke kementerian berkenaan dan boleh `tengok-tengokkan’ projek. Kes ini bukan secara kebetulan kerana perayu pertama memang ditukarkan ke kementerian itu yang kemudian memaklumkan kepada anaknya `job on the way’,” hujah Wan Shaharuddin.

Pada 14 November 2018, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta ke atas Mohd. Arif dan penjara lima tahun dan denda RM9.6 juta terhadap Ahmad Zukhari selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atas mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI