fbpx

Penantian bintang muda Barca berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAVI (kanan) kembali membuat penampilan selepas 11 bulan sejak mengalami kecederaan serius pada November tahun lalu. - AFP

BARCELONA – Bintang muda Barcelona, Gavi mengakui penantian lebih 11 bulan untuk membuat kemunculan kompetitif akhirnya menjadi realiti apabila tampil bersama pasukan ketika menewaskan Sevilla 5-1 dalam aksi La Liga awal pagi semalam.

Sebagai rekod, Gavi telah disisihkan pada November tahun lalu ketika mewakili Sepanyol kerana mengalami kecederaan lutut yang serius sebelum dimasukkan sebagai pemain gantian pada perlawanan di Stadium Olimpik Lluis Companys itu.

Lebih menarik, Gavi yang berusia 20 tahun telah diberikan lilitan kapten pada saingan yang menyaksikan Barcelona menang hasil jaringan berganda Robert Lewandowski dan Pablo Torre selain satu gol sumbangan Pedri.

“Ini adalah detik yang luar biasa buat karier saya kerana saya impikan saat ini (membuat penampilan semula) sejak sekian lama. Terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan sepasukan yang memudahkan tugas saya untuk tampil semula di atas padang.

“Secara peribadi, bukan mudah untuk mana-mana pemain kembali selepas berehat panjang. Justeru, saya rasa cukup bertuah apabila dapat kembali membuat penampilan kompetitif kali ini,” kata Gavi.

Sementara itu, pengendali Barcelona, Hansi Flick mengesahkan dua lagi pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan, Frenkie de Jong dan Eric Garcia dijangka sempat untuk membantu pasukan pada aksi getir El Clasico menentang Real Madrid hujung minggu ini.

“Sepatutnya De Jong pun boleh kembali beraksi pada perlawanan ini tetapi dia mengalami sedikit masalah kecergasan. Garcia juga sama tetapi saya jangka tidak serius dan mungkin boleh kembali pada aksi akan datang,” katanya.

Sebagai rekod, Barcelona kini melebarkan penguasaan di tangga teratas La Liga dengan kelebihan tiga mata ke atas pencabar terdekat yang juga juara bertahan di tangga kedua, Real Madrid selepas mengharungi 10 perlawanan setakat ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI