fbpx

Pemantauan berterusan di lokasi ‘panas’ babit isu merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norhayati menunjukkan tanda larangan merokok terbaharu ketika operasi di Kampung Baru. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pemantauan secara berterusan bakal dilaksanakan bagi premis yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sekiranya masih wujud individu yang berdegil berbuat demikian.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr. Norhayati Rusli berkata, orang awam boleh membuat aduan di talian 010-8608949 atau boleh menghubungi Bilik Gerakan Akta 852 Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) di talian 03-2268 7335.

“Sejumlah 33 notis kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta 852 telah dikeluarkan dengan nilai kompaun bernilai RM8,250 menerusi operasi harian dan berjadual.

“Sebanyak 18 notis membabitkan kedai makan, kompleks beli-belah (7 notis) dan perhentian awam (8 notis),” katanya ketika sidang akhbar selepas Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 di Kampung Baru di sini, malam ini.

Dalam operasi hari ini, selain memeriksa 150 premis di sini, beliau sempat mengedarkan tanda larangan merokok yang baharu ditambah dengan logo rokok elektronik dan kod QR yang boleh diimbas bagi mengetahui lebih lanjut berkait khidmat nasihat kesihatan di 58 premis.

“Pemilik premis juga tidak dibenarkan letak bekas abu rokok bagi elak pelanggan merokok. Jika pelanggan merokok, pemilik premis diminta untuk menasihatkan dengan berhemah agar tidak merokok di kawasan larangan.

“Sekiranya pelanggan masih berdegil, aduan boleh dibuat kepada KKM atau bilik gerakan. Maklumat pengadu adalah rahsia,” jelasnya.

Sehubungan itu, kawasan yang sering diterima aduan berkenaan akan dibuat rondaan dengan lebih kerap oleh pegawai.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima sambutan baik daripada pemilik premis dan semua patuh dengan arahan untuk menggunakan tanda larangan baharu.

Katanya, Operasi Mega Bersepadu di Kuala Lumpur ini merupakan pelaksanaan kelapan sejak 1 Oktober yang telah dilakukan di Melaka, Sabah, Selangor, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan premis dobi dan bangunan tempat kerja menjadi kawasan terbaharu larangan merokok selepas diwartakan Tempat Dilarang Merokok di bawah Akta 852 pada 4 Oktober lalu.

Akta 852 yang telah diwartakan pada 2 Februari lalu berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Oktober lalu.

Sebanyak 28 tempat larangan merokok secara keseluruhannya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI