fbpx

Pakar puji PMX konsisten jayakan Reformasi Fizikal Pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat konsisten dalam menjayakan Reformasi Fizikal Pendidikan negara.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, Reformasi Fizikal Pendidikan yang sedang rancak berlaku menyaksikan kerajaan menyediakan peruntukan hampir RM8 bilion untuk membina 79 buah sekolah baharu sejak tiga tahun lalu.

“Bajet pendidikan (khusus untuk KPM sahaja) bertambah daripada lebih RM55 bilion pada tahun 2023 kepada RM58 bilion (2024) dan ditambah lagi kepada lebih RM64 bilion (2025). Peningkatan hampir RM10 bilion dalam tiga tahun sahaja sejak tahun 2023.

“Pada bajet tahun 2023, hanya sembilan buah sekolah baharu dibina, bajet tahun 2024 bertambah hampir tiga kali ganda kepada 26 buah dan pada bajet 2025 semakin bertambah kepada 44 buah.

“Jika kos kasar pembinaan sebuah sekolah RM100 juta, maksudnya dalam tempoh tiga tahun ini sahaja kerajaan bersetuju sediakan peruntukan hampir RM8 bilion untuk membina 79 buah sekolah baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anuar berkata, bagaimanapun aspek Reformasi Kurikulum Pendidikan dilihat tidak begitu memberangsangkan dengan hanya beberapa intervensi kecil setelah didesak oleh golongan ibu bapa dan para guru.

Menurut beliau, Reformasi Kurikulum Pendudukan merujuk kepada Reformasi Pengajaran, Reformasi Pembelajaran, Reformasi Silibus dan Teknologi Pendidikan serta Reformasi Pentaksiran Pendidikan.

“Reformasi Kurikulum nampaknya tidak begitu menyerlah. Tidak jelas. Kabur. Tentu ini bukanlah tugas PMX (Anwar) lagi. Kita hanya dijanjikan akan ada Kurikulum Baharu 2027 yang belum nampak bayang.

“Reformasi Kurikulum Pendidikan antara paling banyak isu ditimbulkan ibu bapa dan guru. Malangnya kebanyakan isu tersebut seperti tertangguh. Tiada penyelesaian terbaik.

“Apa jadi dengan isu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), apa jadi isu silibus sekolah rendah yang berat, bagaimana dengan isu kekurangan guru, kemerosotan aliran sains tulen, keciciran pembelajaran 3M, beg berat.

“Bukan tidak ada langsung, memang ada usaha. Misalnya memperkenalkan Dasar Pendidikan Digital, tetapi malangnya rakyat khususnya ibu bapa tak merasai gelombang reformasi itu,” katanya.

Beliau berkata, hala tuju Reformasi Jaringan Pendidikan yang melibatkan masa depan pendidikan juga belum nampak dengan jelas walaupun ada yang telah berjaya, tetapi kesannya belum meluas.

Kata beliau, Jaringan Pendidikan merujuk kepada usahasama melibatkan ibu bapa, industri dan komuniti dalam pendidikan anak-anak seperti Program Sekolah Amanah oleh Yayasan Amir, Program Anak Kita oleh Yayasan Hasanah, Program STEM oleh Shell.

“Setakat ini hanya melibatkan segelintir sekolah sahaja sedangkan kita (Malaysia) mempunyai lebih 10,200 buah sekolah di seluruh negara yang melibatkan lebih 5 juta murid.

“Berikan Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk menjayakan Reformasi Jaringan Pendidikan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pasukannya.

“Elakkan diberi tanggungjawab ini pada guru-guru yang mempunyai KPI untuk mesti berada di dalam kelas untuk PDP,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI