BELUM boleh dibawa pulang ke England, mayat penyanyi Liam Payne difahamkan masih perlu berada di Argentina bagi tempoh dua minggu lagi bagi menunggu laporan bedah siasat.
Sekali gus, upacara pengebumian bekas anggota kumpulan One Direction itu hanya dapat disempurnakan November depan iaitu sebaik keputusan ujian toksikologi diketahui.
Agensi berita antarabangsa melaporkan bapa mendiang, Geoff Payne kini sudah berada di Buenos Aires bagi mengenal pasti mendiang secara rasmi selain mengatur proses penghantaran mayat untuk dibawa pulang ke West Midlands.
Bapanya tiba di negara itu dua hari selepas kematian Liam dan terus dibawa pegawai konsulat ke Hotel Casa Sur bagi mengambil barang milik mendiang.
Sebelum ini, keputusan awal bedah siasat yang dijalankan Pusat Perubatan Forensik di Rumah Mayat Kehakiman, Viamonte Street mendedahkan Liam meninggal dunia akibat pelbagai trauma yang mengakibatkan pendarahan otak, tengkorak, hati dan dada serta kecederaan luaran.
Siasatan awal turut mendapati tiada unsur jenayah, manakala Liam juga disyaki dalam keadaan separuh sedar ketika jatuh dari tingkat tiga balkoni hotel didiaminya.
Forensik menyatakan kajian toksikologi dan anatomi-patologi darah serta air kencing mendiang masih dalam proses ujian bagi menentukan sama ada terdapat kesan dadah.
Antara lain, pihak berkaitan menyelidik sejarah perubatan serta kesihatan mental penyanyi berusia 31 tahun itu.
Pada 16 Oktober, dunia dikejutkan dengan berita kematian Liam yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga balkoni hotel di Buenos Aires, Argentina.
Punca kematian Liam masih menjadi tanda tanya ramai meskipun maklumat awal mendakwa tragedi terbabit berkaitan dadah dan minuman keras.
Hasil siasatan dilakukan di bilik tempatnya menginap menunjukkan keadaan berselerak selain berlaku kerosakan pada bilik termasuk televisyen.
Malah, pihak berkuasa tempatan turut menemui ubat jenis clonazepam yang digunakan untuk mengawal epilepsi serta serangan panik.
Kunjungan Liam bersama kekasihnya, Kate Cassidy ke Argentina adalah untuk menyokong dan muncul di konsert salah seorang bekas anggota One Direction, Niall Horan.
Begitupun, teman wanitanya itu pulang sendirian ke Florida, Amerika Syarikat dua hari sebelum kematian Liam difahamkan selepas berlaku pertengkaran.
Teman rapat pempengaruh yang sudah bersama Liam sejak dua tahun lalu menyatakan pasangan terbabit sudah dua minggu di Argentina yang sepatutnya hanya percutian lima hari.
Mendiang meninggalkan seorang anak lelaki yang kini berusia tujuh tahun, Bear hasil hubungan dengan bekas kekasihnya, juga penyanyi Cheryl Cole. – KOSMO! ONLINE