fbpx

Kerajaan dicadang gubal akta khusus berkaitan kewarganegaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan dicadang untuk menggubal satu akta khusus berkaitan kewarganegaraan sebagai langkah jangka panjang susulan pindaan Rang Undang-Undang (Kewarganegaraan) yang diluluskan di Parlimen, baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Marah (UiTM) Shah Alam, Dr. Ikmal Hisham Md Tah berkata, perkara itu penting bagi memastikan tiada golongan tercicir dalam menikmati hak sebagai warganegara serta dilindungi oleh Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Penggubalan akta itu juga adalah untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) ini diperkemas, selain menetapkan peraturan dan syarat ujian berkaitan Bahasa Melayu bagi mendapatkan kewarganegaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat menempa sejarah apabila meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan.

Ia diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga selepas penggulungan bahas oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dr. Ikmal Hisham berkata, pindaan tersebut bertepatan dengan hasrat kerajaan bagi mengimbangi tuntutan hak asasi rakyat serta identiti negara yang merupakan elemen penting dalam aspek kewarganegaraan.

Menurutnya, secara asasnya, dua prinsip utama dalam memahami kewarganegaraan ialah prinsip jus soli (warganegara secara kelahiran) dan jus sanguinis (mengikut status ibu dan bapa).

“Antara yang menjadi tajuk utama sehingga membabitkan mahkamah ialah seorang anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia akan mendapat taraf kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang.

“Pindaan lain yang turut terlibat ialah status kewarganegaraan bagi anak bagi pemastautin tetap, pelucutan kewarganegaraan dalam tempoh dua tahun selepas mendapat kewargangeraan bagi isteri kepada lelaki warganegara dan penurunan had umur mengikut status umur mengundi yang dipinda sebelum ini,” jelasnya.

Tambah beliau, pindaan ini sekaligus memberi hak sama rata antara lelaki serta wanita dalam kewarganegaraan dan ini sejajar dengan peruntukan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI