PETALING JAYA – Kukuton, beruang matahari yang dihimpit trauma selama tujuh tahun dilaporkan mati akibat kegagalan jantung pada 17 Oktober lalu ketika sesi latihan pagar.
Kematian beruang matahari itu diumumkan pengasas Borneo Sun Bear Conservation Centre (BSBCC), Wong Siew Te di Facebook, kelmarin.
Menurutnya, Kukuton dikenali dengan kisah traumanya di mana dia dikurung dalam sangkar kecil selama tujuh tahun.
Kejadian itu menyebabkan dia mempunyai tingkah laku stereotaip yang merosakkan diri dan memiliki tubuh badan yang kecil.
“Walaupun dengan masa lalunya, Kukuton sentiasa berjiwa lembut. Dia membawa kegembiraan kepada semua yang mengenalinya, dan ketiadaannya akan sangat dirasai,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Wong juga menjelaskan kematian beruang matahari itu berlaku semasa sesi latihan pagar yang merupakan prosedur rutin bagi memastikan semua beruang mengenali pagar elektrik sebelum dibebaskan ke kawasan hutan.
“Malangnya, sesi latihan kali ini menjadi terlalu tertekan bagi Kukuton dan masalah kesihatan yang tidak disedari sebelum ini menjadi lebih teruk.
“Penjaganya bertindak cepat untuk memberi bantuan, namun Kukuton tidak memberi reaksi positif,” katanya.
Dalam pada itu, Wong turut meminta orang ramai yang mengenali Kukuton untuk mengenang kembali perjalanan hidup haiwan berkenaan yang berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Marilah kita ingati cinta Kukuton kepada penjaganya dan telatah comelnya. Semoga ingatannya menjadi sumber ketenangan dan inspirasi buat semua yang mengenalinya.
“Kami sayang awak Kukuton,” tulis Wong. – KOSMO! ONLINE