LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot percaya beberapa keputusan pengadil mampu menjadi punca sekiranya mereka gagal mencatat kemenangan ke atas Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam kelmarin.
Meskipun perlawanan dihiasi dengan beberapa keputusan kontroversi daripada pengadil perlawanan, John Brooks, namun The Reds memastikan mereka mengutip tiga mata berharga menerusi kemenangan 2-1.
Sepakan penalti Mohamed Salah serta gol kemenangan yang dijaringkan Curtis Jones mengekalkan Liverpool di puncak teratas liga, manakala gol saguhati Chelsea hadir menerusi Nicolas Jackson.
Slot berkata, dua keputusan besar dilakukan Brooks boleh menjadi punca sekiranya Liverpool gagal mengutip tiga mata, iaitu sepakan penalti yang ditarik balik serta Tosin Adarabioyo tidak dilayangkan kad merah.
“Ia tidak penting lagi kerana kami sudah memenangi perlawanan, tetapi ia boleh menjadi punca utama jika tewas. Saya tidak faham mengapa VAR (Video Bantuan Pengadil) mengubah keputusan yang sudah dilakukan pengadil di atas padang.
“Pengadil sudah pun membuat penilaian sendiri dan sepatutnya VAR tidak perlu masuk campur. Jika anda lihat semula rakaman itu, bagi saya ia memang satu kesalahan yang layak diberikan penalti,” katanya.
Pada penghujung separuh masa pertama, Liverpool dianugerahkan sepakan penalti kedua, namun ianya ditarik semula selepas VAR mendapati penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez melakukan terjahan terhadap bola, bukannya Jones.
“Ia antara keputusan yang sangat penting dalam perlawanan dan mampu mempengaruhi permainan. Bagaimanapun, kadang-kadang ianya diperlukan kerana mampu menghangatkan lagi suasana perlawanan,” ujar Slot. – AGENSI