KUALA LUMPUR – Sebanyak 89 peratus atau melibatkan 443,259 unit rumah mampu milik (RMM) telah siap, sedang dibina dan dirancang di seluruh negara sehingga September lepas menjadikan sasaran pembinaan 500,000 projek itu hampir selesai.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat memaklumkan baki 56,741 unit RMM dijangka diselesaikan menjelang akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) ini.
“Berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), terdapat peningkatan yang signifikan dalam aktiviti pengurusan hartanah pada setengah tahun pertama 2024, berbanding 2023.
“Terdapat peningkatan lapan peratus dalam jumlah transaksi melibatkan 198,906 unit hartanah, dengan nilai keseluruhan melonjak 23.8 peratus kepada RM105.65 bilion,” menurut jawapan bertulis itu hari ini.
Jawapan tersebut adalah sebagai menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkranain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai cadangan menghidupkan kembali Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan langkah tambahan KPKT untuk menyokong pembeli rumah pertama serta memulikan industri hartanah di Malaysia.
Dalam pada itu, melihat kepada kejayaan inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-Miliki) yang berakhir pada Disember lalu, KPKT telah memohon pertimbangan kerajaan untuk melanjutkan inisiatif tersebut agar lebih ramai pembeli, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), dapat menerima manfaat.
“Menurut laporan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 8,723 tuntutan pengecualian duti setem telah direkodkan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM38,373,796.52.
“Kerajaan masih meneruskan pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah 2.0 (HOC 2.0), yang berlangsung dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2025.
“Kempen ini menawarkan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pembiayaan bagi kediaman baharu atau pasaran sekunder bernilai RM500,000 ke Bawah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE