fbpx

Dewan Rakyat: 2,000 syarikat GLC bakal diaudit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bakal dilakukan pengauditan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bagi mewujudkan era tadbir urus lebih baik, selain untuk memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga selari dengan hasrat untuk memastikan syarikat kerajaan diurus mengikut mandat sebenar khususnya demi kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Ini akan memberikan peringatan bahawa tidak harus berlaku apa-apa kecurangan dalam agensi-agensi berkenaan.

“Gesaan supaya terus diberi pemantauan dan kita telah bersetuju bahawa Ketua Audit Negara audit semua 2,000 GLC ini supaya jadi kejutan (peringatan) kepada semua untuk lebih bertanggungjawab. Kadang-kadang pelanggaran itu masih berlaku dan berterusan di beberapa peringkat.

“Tidak ada jalan lain untuk kita jalankan audit dan pantau terus. Saya yakin tindakan ini bakal menjadi kejutan, sekali gus memastikan semua pihak lebih bertanggungjawab,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung pelan tindakan di bawah agenda reformasi khusus buat GLIC, GLC dan agensi demi memastikan keseimbangan antara objektif korporat dan tanggungjawab sosioekonomi nasional tercapai tanpa menjejaskan daya maju, daya saing dan daya tahan ekonomi Malaysia dan GLC itu sendiri.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan semua pengurusan GLC yang berdepan kerugian dan pengurusan yang tidak teratur supaya memperbaiki prestasi masing-masing.

“Syarikat yang tidak catat keuntungan atau pengurusan yang lemah harus ambil tanggungjawab mereka (untuk baiki prestasi),” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI