fbpx

Cuti bomba dibekukan sepanjang musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan melaksanakan pembekuan cuti secara strategik ke atas anggotanya sebagai persiapan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, tindakan tersebut disasarkan kepada kawasan tertentu mengikut aliran monsun timur laut.

“Saya merancang untuk menyasarkan kawasan-kawasan tertentu (bagi pembekuan cuti) mengikut aliran monsun timur laut.

“Tidak adil untuk melaksanakan pembekuan cuti di negeri-negeri yang tidak terjejas oleh banjir, tetapi jika situasi menjadi kritikal, pembekuan menyeluruh mungkin akan dilaksanakan bagi menyokong pasukan di negeri-negeri yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir Persidangan dan Pameran Kebombaan Antarabangsa Malaysia (IFCEM), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Nor Hisham berkata, pihaknya juga telah menyemak semula kawasan tumpuan serta pangkalan hadapan sebagai persediaan menghadapi cuaca yang dijangka berlaku.

“Kami telah menyemak semula kawasan tumpuan dan meneruskan pelan yang ditetapkan, termasuk penubuhan pasukan tindak balas pantas di 22 lokasi.

“Kami juga memberi tumpuan kepada pangkalan hadapan, dengan logistik ditempatkan di Wakaf Tapai, Terengganu, dan Ayer Hitam, Johor, daripada terlalu fokus kepada Pulau Pinang kali ini (untuk banjir).”katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan berkoordinasi dengan polis dan agensi-agensi lain berdasarkan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Nadma telah mengeluarkan arahan, iaitu kerangka pengurusan bencana yang lebih jelas. Ia menetapkan bahawa JBPM akan bertindak sebagai timbalan komander insiden dan komander hadapan dalam sebarang kejadian.

“Kami juga telah mengadakan dua siri sesi latihan bersama ketua-ketua balai bomba untuk memperkukuhkan pelaksanaan arahan Nadma di semua balai bomba,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan MetMalaysia menjangkakan monsun timur laut akan bermula awal bulan depan.

Malaysia telah memasuki fasa peralihan monsun pada 24 September lalu, yang dijangka berterusan sehingga awal bulan depan, dengan beberapa negeri dijangka mengalami banjir. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI