SEBERANG PERAI – Sebuah asrama yang menempatkan pekerja warga asing di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan Mewah, Butterworth di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu disedari jiran yang tinggal berhampiran premis sebaik ternampak asap tebal manakala elektrik terpadam dengan sendiri.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Khairul Nizam Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.11 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati pintu kediaman itu dalam keadaan berkunci dan asap keluar di bahagian celah pintu premis di aras dua.
“Kita memecahkan pintu menggunakan peralatan khas dan mendapati api telah marak di bahagian hadapan premis tersebut.
“Siasatan di lokasi mendapati kesemua penghuni asrama berada di kilang sewaktu kejadian,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, kemusnahan kebakaran dianggarkan sebanyak 60 peratus manakala punca serta kerugian masih dalam siasatan Pasukan Forensik Bomba. – KOSMO! ONLINE