PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kagum dengan kisah pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik yang menahan sakit semasa beraksi di Olimpik Paris 2024.
Menurut Awnar, Wooi Yik menahan sakit akibat jari kaki retak dan membengkak selama 74 minit sepanjang perlawanan penentuan pingat gangsa.
“Terima kasih atas kekentalan jiwa dan pengorbanan ini demi memastikan bendera Malaysia berkibar di Paris,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar memaklumkan, beliau berkesempatan bertemu dengan tujuh wira negara yang mengharumkan nama Malaysia di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di Parlimen hari ini.
Mereka ialah Lee Zi Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Cheah Liek Hou, Bonnie Bunyau Anak Gustin, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Eddy Bernard yang memenangi pingat di Paris dalam acara sukan masing-masing.
Kata Perdana Menteri, beliau berbangga dengan pencapaian hebat itu dan terkesan mendengar pengalaman mereka yang bermula di bangku sekolah serta gigih berusaha memecahkan tembok-tembok halangan untuk bergelar atlet bertaraf dunia serta menyatukan rakyat Malaysia dengan kejayaan masing-masing.
“Dalam pertemuan ini, saya zahirkan iltizam kerajaan untuk terus memperhebat pembangunan sukan negara khususnya menerusi peruntukkan lebih RM230 juta dalam Belanjawan 2025.
“Peruntukan ini antaranya untuk program podium, latihan atlet dan Road to Gold; persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025; kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya. – KOSMO! ONLINE