BAU – Tindakan pantas dua penduduk kampung berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas dalam kebakaran yang meranapkan rumahnya di Kampung Tringus, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Tawang Linggam berkata, ketika kejadian pada pukul 10.02 malam tadi, wanita terbabit tinggal bersendirian di rumah.
“Setiba di lokasi kejadian, rumah satu tingkat itu sudah terbakar 100 peratus, termasuk sebuah kereta Proton Saga.
“Terdapat seorang wanita warga emas berumur 80 tahun yang bersendirian di rumah berjaya diselamatkan oleh dua penduduk kampung. Kejadian turut menjejaskan tiga buah rumah lain yang terbakar 10 peratus apabila api merebak,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – KOSMO! ONLINE