PETALING JAYA – “Ustaz boleh tolong tak? Saya baru kerja, gaji belum dapat, susu anak sudah habis, saya tak ada siapa mahu tolong,” demikian rayuan seorang ibu mualaf berhubung masalah dihadapinya kepada seorang ustaz wakil Skuad Saidina Umar (SSU).
Menerusi kisah diceritakan pada hantaran Facebook Lembaga Zakat Selangor, wanita tersebut menghantar mesej berkenaan kepada pihak SSU pada malam tadi kerana ketiadaan wang untuk membeli susu.
Berikutan itu, tindakan pantas diambil oleh skuad tersebut walaupun di luar waktu pejabat dengan menghubungi pengadu untuk mendapatkan info lanjut.
“Disahkan pengadu merupakan seorang mualaf baru memeluk Islam, menyara dua anak masih kecil, tiada suami dan baru mula bekerja. Setelah semakan sistem dan pengesahan awal diperolehi, kami gerakkan pasukan untuk menyantuninya.
“Wanita ini bekerja sambilan sebagai pembantu kedai jualan dan baru sahaja seminggu bekerja. Dua anak dijaga oleh ibunya yang belum Islam. Disahkan juga keperluan susu bayi telah kehabisan akibat tiada wang untuk membelinya,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Zakat Selangor menyerahkan bantuan tunai pada malam tadi untuk keperluan ibu tersebut dan anaknya, sementara menunggu gaji pertama yang akan diterima hujung bulan ini.
“Selain itu, kita juga akan menguruskan bantuan-bantuan lain serta telah menasihatinya agar menghadiri kelas fardu ain mengikut jadual kelapangannya nanti.
“Kami usahakan sebaiknya buat mereka, hasil kutipan daripada pengeluar zakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.