fbpx

Selangor disaran tambah baucer Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shanker raj bersama Tengku Zafrul dan Vikneswaran ketika penyerahan sumbangan baucar Deepavali di Klang. -Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED / KOSMO!

KLANG – Kerajaan negeri disaran menambah jumlah baucer Deepavali kepada kaum India yang dianggap masih rendah dan tidak mencukupi berbanding jumlah sebenar penerimanya.

Pengerusi MIC Selangor, Datuk M. Shanker Raj Ayanger berkata, keadaan itu antaranya dihadapi penduduk parlimen Kota Raja di sini, yang mempunyai seramai 62,000 pengundi India iaitu paling ramai di negara ini.

Jelas Ketua MIC Bahagian Kota Raja itu, pihaknya mendapati baucer sempena perayaan Deepavali hanya diberikan kepada 600 penerima iaitu kira-kira satu peratus.

“Justeru, saya berharap kerajaan negeri dapat menambah baucer itu yang bersesuaian dengan jumlah penduduk India di sesuatu kawasan.

“Perkara itu dianggap perlu terutama kepada golongan memerlukan bagi meringankan beban dan menceriakan sambutan Deepavali mereka,” katanya ketika ditemui pada program Sumbangan Barangan Keperluan Sempena Deepavali MIC Kota Raja di sini, malam tadi.

Seramai 250 keluarga menerima sumbangan baucer termasuk pakaian yang turut diserahkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Tambah Shanker Raj, pihaknya akan turun padang bagi mengenalpasti kaum India yang tertinggal dalam menerima pelbagai bantuan dan inisiatif kerajaan negeri.

“Semua Dewan Undangan Negeri (DUN) menjalankan peranan mereka namun kita perlu pergi ke rumah bagi memaklumkan golongan yang layak menerima bantuan itu.

“Selangor mempunyai kira-kira 50 inisiatif termasuk insurans dan bantuan pelajaran namun mungkin masih ada yang kurang mengetahuinya. Kita kena jumpa dan bantu mereka,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI