SHAH ALAM – Beri saingan sengit, pasangan sepupu, Tomok dan Sharul Kamal bersyukur dinobatkan sebagai pemenang Duo Terbaik pada konsert minggu pertama Famili Duo musim keempat yang berlangsung semalam.
Berkongsi kegembiraan, Tomok mengakui pengalaman menyertai beberapa pertandingan nyanyian sebelum ini banyak membantunya mendapatkan idea kreatif untuk persembahan.
“Jika ada yang merasakan persembahan saya hari ini (semalam) seperti pernah dilakukan dalam pertandingan lain sebelum ini, memang betul. Cuma saya kembangkan dan olah idea tersebut mengikut kesesuaian konsep.
“Ini juga pertama kali saya bertanding secara duo dan sesuatu yang baru untuk saya. Saya suka suntik kelainan dalam persembahan.
“Kalau ada program begini lagi, saya memang akan sertai, menang atau kalah, semua itu cerita lain,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media konsert minggu pertama Famili Duo di sini, semalam.
Dalam masa sama, dia memberitahu tiada isu ‘overshadow’ atau menenggelamkan idea pasangan duonya iaitu Sharul seperti didakwa ramai.
“Kami bekerja sebagai satu kumpulan dan tiada sebarang masalah dalam mengembangkan idea untuk persembahan.
“Dia juga terlibat banyak dalam proses mencari idea. Sebenarnya idea Sharul banyak yang bagus-bagus,” ujarnya,
Pasangan yang mendapat rating ‘perfect 10’ daripada juri tetap itu membawa lagu Aku Penghiburmu nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah dan Gerhana (Datuk M Nasir) dengan cemerlang sebelum diumumkan sebagai duo mingguan terbaik.
Mereka turut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000.
Menerusi persembahan tersebut, Tomok dan Sharul mengumpul sebanyak 64.5 markah meninggalkan lima pasangan lain iaitu Naqiu dan Joey Daud (59.0 markah).
Kemudian diikuti Ayie Elham dan Salman Asis (48.3 markah), Shiha Zikir dan Ieda Zikir (46.9 markah), Zahid dan Anne (35.8 markah) serta Didi Astillah dan Thamiera (31.5 markah).
Sementara, kerusi juri tetap pula diisi oleh Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor. – KOSMO! ONLINE