SEBERANG PERAI – Seorang pemuda maut selepas motosikal yang dia tunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 134.9, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Perai di sini pagi tadi.
Mangsa, Ang Kien Seong, 24, disahkan mati di tempat kejadian akibat tersepit di bawah kereta jenis Perodua Viva.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Rohaizal Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.44 pagi.
Menurutnya, setibanya di lokasi pihaknya mendapati penunggang motosikal jenis SYM berada di bahagian bawah kereta dipercayai dipandu lelaki berusia dalam lingkungan 60-an.
“Anggota bomba mengambil masa kurang lima minit untuk mengeluarkan penunggang motosikal yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE