KUALA PERLIS – Mangsa kebakaran bot fiber akibat letupan bateri di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, di sini pada Khamis lalu meninggal dunia, hari ini.
Mangsa, Nur Azman Abu, 45, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dekat sini pada pukul 8 pagi.
Sepupu mangsa, Romat Main@Ismail, 44, berkata, arwah yang lebih dikenali penduduk setempat sebagai Atan sudah seperti abangnya sendiri.
“Arwah dijaga oleh keluarga saya selepas kematian ibu kandung sebaik melahirkannya. Dia juga bagaikan kembar saya kerana berkongsi susu badan ibu,” katanya ketika ditemui di Masjid Rahmaniah, di sini hari ini.
Katanya, arwah merupakan seorang yang peramah, lurus dan rajin bekerja.
“Dia tidak pernah menolak dan tidak berkira jika disuruh untuk melakukan kerja terutama berkaitan kerja-kerja di laut.
“Abang saya ini pernah berkahwin tetapi telah bercerai serta tiada cahaya mata. Sejak ayah meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu, dialah yang menjaga ibu kami, Manis Borhan, 70-an,” ujarnya.
Kosmo! pada 18 Oktober lalu melaporkan dua nelayan melecur teruk selepas sebuah bot nelayan tiba-tiba meletup dan terbakar di Kampung Tanah Baru, di sini.
Dalam kejadian pada pukul 11.55 pagi itu, mangsa, Mohamad Bakri Idham, 54, melecur 45 peratus manakala rakannya, Nur Azman Sabu, 45, melecur 88 peratus akibat disambar api. – KOSMO! ONLINE