fbpx

MK AB pertahan kedaulatan negara, sokong keamanan global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENUBUHAN Markas Angkatan Bersama (MK AB) seiring dengan perancangan Ang­katan Masa Hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menekankan kepada pengoperasian bersama antara perkhidmatan dalam ATM.

Menelusuri sejarahnya, markas ini mula beroperasi secara ‘ad-hoc’ pada 6 September 2004, penubuhan MK AB secara rasmi­nya pada 16 Julai 2007 di Kementerian Pertahanan Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Ia kemudiannya dipindahkan ke kompleks baharu iaitu di Sungai Panching, Kuantan dan beroperasi sepenuhnya pada 1 Julai 2019 dan dinamakan semula sebagai Kem Al-Sultan Abdullah sempena nama Kebawah DYMM Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Panglima Angkatan Bersama (PAB), Leftenan Jeneral Dato’ Zahani Haji Zainal Abidin TUDM berkata, kewujudan MK AB adalah untuk mengendalikan tugas-tugas berkonsepkan ‘Bersama’ (Jointness), yang bersifat tiga khidmat (Tri-Service) di dalam  ATM.

Jelasnya, konsep ‘Assigned Force’, yang dipraktikkan oleh MK AB memberi penekanan kepada soko­ngan terhadap semua operasi dan eksesais bersama dengan meletakkan komponen tempur setiap perkhidmatan (Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara) di bawah pemerintahan serta kawalan operasi oleh PAB.

Manakala katanya, tugas ‘raise, train and maintain’ kekal di bawah tanggungjawab setiap perkhidmatan.

“MK AB berperanan membangunkan keupayaan pelaksanaan operasi di dua wilayah secara integrate, operate dan sustain, mengatur gerak, memerintah dan mengawal operasi bersama ATM di dalam dan luar negara meliputi misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan latihan mengawal selia eksesais dan latihan bersama/gabungan/bersepadu, mengukuhkan pertahanan menyeluruh (HANRUH) melalui kerjasama antara agensi (WoGos) dan mengukuhkan diplomasi pertahanan melalui perkongsian berwibawa.

“Penglibatan awal ATM di dalam operasi global bermula pada tahun 1960 di Congo dan sehingga kini ATM masih terlibat de­ngan lima misi iaitu Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), Pegawai Pemerhati Tentera (PPT) di Misi Penstabilan Organisasi PBB Di Republik Demokratik Congo (MONUSCO), Misi PBB Untuk Referendum Di Sahara Barat (MINURSO), Pasukan Keselamatan Interim PBB Untuk Abyei (UNISFA) di Sudan dan Misi PBB Menyokong Perjanjian Hudaydah (UNMHA) di Yaman,” katanya kepada Kosmo!

SELAIN melaksanakan tugasan Op PASIR, pasukan ATM juga menyantuni penduduk setempat melalui program CIMIC.

Dalam pada itu mengulas mengenai penugasan MALBATT 850 di Lebanon, Zahani berkata, pasukan itu telah menjalankan misi sejak 11 tahun lalu bermula pada tahun 2013.

Bagaimanapun, MALBATT 850-11 kini berdepan dengan cabaran susulan konflik Israel-Palestin yang berlaku semenjak 7 Oktober tahun lalu.

Ketegangan ini sedikit sebanyak telah menjejaskan operasi harian pasukan itu terutamanya rondaan di kawasan tanggungjawab yang menyebabkan tugasan ini terpaksa dihentikan buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

Kini tugasan MALBATT 850-11 tertumpu di kawasan pangkalan sahaja oleh kerana risiko serangan udara dan daratan daripada Israel Defence Force (IDF).

Namun demikian, MK AB serta UNIFIL melalui pelan rancangan kontigensi tetap memastikan anggota terup kekal selamat.

MARKAS Angkatan Bersama sentiasa menitikberatkan keupayaan aset dengan perolehan aset-aset baharu bagi pengoperasian MALBATT di Lebanon.

Sesungguhnya, pengalaman beroperasi di zon konflik merupakan satu pengalaman yang sungguh mencabar buat anggota MALBATT 850-11 dan menuntut setiap warganya mempunyai daya ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.

Kata Zahani, walaupun berhadapan dengan situasi yang sukar, setiap warga MALBATT 850-11 tetap menunjukkan prestasi yang cemerlang dan komited dalam melaksanakan misi PBB sekali gus menaikkan imej ATM dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Semangat sebegini yang ditunjukkan seharusnya menjadi pemangkin kepada seluruh warga ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara agar keamanan kekal terpelihara.

Justeru, bagi menentukan keberkesanan operasi pada tahap yang tertinggi, MK AB telah melaksanakan perolehan kelengkapan baharu iaitu kenderaan perisai Ejder Yalcin 4×4 atau dikenali dengan nama Panthera dan kini dioperasikan oleh
MALBATT 850-11 di Lebanon.

“MK AB juga dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan Hospital Medan ATM di Cox’s Bazaar, Bangladesh pada Mac 2018 sehingga Mac 2020 melalui Ops Starlight I dan Ops Starlight II di Celikhan, Adiyaman Turkiye dari 15 Februari hingga 23 Mac 2023. Penyertaan tersebut sekali gus berjaya mengharumkan nama ATM dan Malaysia diperingkat antarabangsa.

“MK AB turut menghantar Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao (TPA-M), yang diketuai oleh Malaysia bermula pada 10 Oktober 2004 berikutan jemputan daripada kerajaan Filipina dan pihak Moro Islamic Li­beration Front (MILF) bagi memenuhi hasrat untuk memantau proses perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua pihak. Namun, pada Jun 2022 misi ini telah ditangguhkan,” katanya.

Di peringkat domestik pula, Zahani berkata, pihaknya juga menabur bakti dalam operasi di Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) yang turut bernaung di bawah pemerintahan MK AB.

Antara operasi yang terlibat ialah Operasi PASIR (Pandanan dan Sipadan Island Resort) sepanjang Pantai Timur Sabah sejak 7 April 2007.

“Operasi PASIR ini diwujudkan susulan dua kejadian penculikan Kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Pandanan dan Sipadan pada tahun 2000.

“Mulai 1 Januari 2022, ATB 2 telah dipertanggungjawabkan mengambil alih sepenuhnya kawasan tanggungjawab Operasi Pasir Pesisir Pantai dan Operasi BENTENG yang disatukan di bawah Op PASIR.

“Operasi domestik ini berkonsepkan assigned forces, melibatkan keanggotaan dan aset ketiga-tiga perkhidmatan dalam membantu pihak penguat kuasa awam mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI),” ujarnya.

Ujar beliau, pelaksanaan operasi itu memberi impak terhadap keselamatan, kestabilan, ekonomi serta memberikan keyakinan kepada pelancong dan masyarakat setempat di Timur Sabah.

“Biarpun dipertanggungjawabkan dengan pelbagai operasi, MK AB tetap meneruskan latihan dan eksesais sama ada melibatkan pa­ sukan dalam mahu pun luar negara.

“Antara eksesais yang dilaksanakan adalah eksesais secara bilateral atau multilateral dengan melibatkan negara seperti Amerika Syarikat (AS), Perancis, Australia, Korea Selatan, China, Rusia, Japan, New Zealand, India serta negara-negara ASEAN.

“Selain itu, MK AB juga bertanggungjawab melaksanakan Eksesais Bersama dan Eksesais Bersepadu yang dilaksanakan di dalam negara melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan ATM serta agensi kerajaan lain yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti PETRONAS, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia),” katanya.

Selain tumpuan kepada operasi ketente­raan, MK AB juga memberi perhatian kepada aspek hubungan dengan masyarakat melalui program Civil Military Cooperation (CIMIC).

Program ini melibatkan pelaksanaan projek-projek Low-Cost, High Impact yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada komuniti di kawasan operasi.

Zahani berkata, semua projek itu membantu dalam membina hubungan yang akrab antara ATM dan masyarakat setempat.

“Inisiatif ini penting dalam memastikan sokongan masyarakat terhadap operasi yang dilaksanakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zahani memberitahu, bahawa MK AB memainkan peranan yang amat penting dalam struktur dan operasi ATM untuk terus berfungsi sebagai markas utama dalam menyelaras serta melaksanakan operasi ketenteraan sejak daripada penubuhannya yang bermula secara ad-hoc kepada peranannya yang signifikan dalam operasi domestik dan antarabangsa.

“Komitmen MK AB dalam pelbagai misi kemanusiaan, eksesais antarabangsa dan operasi global serta domestik menunjukkan dedikasi ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara serta menyokong keamanan.

“Dengan memberi perhatian kepada hubungan masyarakat dan keselarasan dalam operasi, MK AB memastikan bahawa ATM terus beroperasi dengan efektif dan responsif terhadap cabaran semasa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI