SEJARAH baharu tercipta dalam arena sukan tanah air apabila atlet woodball negara, Nor Rinda Ramli muncul juara dunia dalam kategori fairway wanita pada Kejohanan Woodball Piala Dunia di Shaoxing, China.
Pada aksi penentuan pingat emas yang berlangsung Jumaat lalu, atlet berusia 40 tahun itu memperagakan aksi terbaik ketika mengetepikan cabaran wakil tuan rumah, Lei Chensha menerusi kemenangan 5-3.
Kemenangan itu nyata memberi makna cukup besar buat Rinda kerana melakukan pencapaian cukup besar dalam tempoh singkat memandangkan dia baru sahaja menceburkan diri dengan sukan tersebut selama tiga tahun.
“Tidak ada perkataan yang mampu menggambarkan perasaan saya ketika ini kerana sudah mencapai apa yang diimpikan oleh seseorang atlet iaitu memenangi acara yang dipertandingkan di peringkat dunia.
“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana berjaya membuktikan saya boleh melakukannya. Sebagai orang baharu, saya ingin katakan bahawa apa yang kita mahu capai tidak bergantung pada berapa lama kita bermain,” katanya.
Dia yang merupakan kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sememangnya seorang individu cukup aktif bermain sukan kerana pernah menceburkan diri dalam futsal dan bola jaring.
Meskipun woodball bukanlah sukan yang begitu popular di Malaysia, namun pencapaian tersebut pastinya menjadi satu kebanggaan buat seluruh rakyat Malaysia kerana bukan tugas mudah untuk bergelar juara dunia.
“Sebelum ini memang saya ada bermain futsal dan bola jaring, jadi teruskan hingga dapat mewakili Perlis dan Malaysia. Bagi saya, usaha berterusan serta fokus dalam permainan adalah kunci utama untuk berjaya,” ujar Rinda. – KOSMO! ONLINE