fbpx

Majikan pening nak bayar gaji RM1,700

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tinjauan di media sosial mendapati, terdapat majikan meluahkan kebimbangan apabila perlu menanggung kos yang meningkat. - GAMBAR HIASAN

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Ia mendapat maklum balas positif daripada rakyat. Ramai yang gembira dengan kadar baharu tersebut apabila sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan keluarga.

Dengan keadaan kos sara hidup khususnya di bandar, komitmen bulanan serta pelbagai lagi bayaran ditanggung, ramai mengharapkan sesuatu dari segi kadar gaji minimum dalam belanjawan kali ini.

Lebih-lebih lagi golongan berpendapatan rendah.

Di sebalik berita gembira tersebut, sebenarnya ia turut ‘memeningkan’ pihak majikan terutama pengusaha dan pemilik perniagaan.

Tinjauan di media sosial mendapati, mereka meluahkan kebimbangan apabila perlu menanggung kos yang meningkat susulan pelaksanaan kadar gaji minimum.

Bagi menanggung bebanan, mereka mungkin terpaksa meningkatkan harga perkhidmatan atau produk. Bagaimanapun, ia turut merisikokan peniaga apabila berdepan kehilangan pelanggan.

Akhirnya ia boleh memberi kesan kepada perniagaan jika tidak mendapat keuntungan, sehingga majikan terpaksa mengurangkan pekerja atau menutup perusahaan.

Salah seorang yang meluahkan kerisauan itu ialah seorang pengusaha taska. Dia memberitahu, pengumuman kadar gaji minimum itu menyebabkan dia ‘berdenyut kepala’ kerana perlu menanggung kos yang tinggi.

Pada masa sama, dia tidak sampai hati untuk menaikkan bayaran yuran.

Bagaimanapun, dia memaklumkan terpaksa meningkatkan harga yuran itu kelak selepas menyusun semula strategi perniagaannya.

Situasi itu selari dengan dinyatakan oleh Presiden Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng bahawa peningkatan kadar gaji minimum dijangka menyebabkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas.

“PKS di Sabah dan Sarawak khususnya berdepan kesukaran melaksanakan gaji minimum tersebut, malah dijangka turut mengakibatkan kehilangan pekerjaan yang besar.

“Ini akan sangat merugikan B40 apabila kebanyakan mereka bergantung kepada kerja separa mahir, sekali gus menjadi antara pekerjaan pertama yang terjejas,” katanya.

Ujarnya, Samenta bersetuju gaji di Malaysia terlalu rendah dan lebih banyak yang perlu dilakukan untuk menaikkan kadar pendapatan tersebut.

“Namun, gaji minimum itu datang ketika masa margin termampat kepada PKS dan ia juga akan mengganggu operasi PKS,” katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan pengecualian cukai dividen dua peratus ke atas pemilik PKS kerana disifatkan merugikan pengusaha perniagaan tersebut.

“Mengenakan cukai atas dividen daripada pendapatan yang telah dikenakan cukai bukan sahaja satu bentuk cukai berganda, tetapi menghalang PKS daripada mengembangkan perniagaan atau memperoleh keuntungan lebih tinggi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI