MINGGU lalu industri hiburan tempatan rancak bercerita perihal janda dan duda. Warga netizen saling bersaing menyenaraikan nama-nama artis yang kononnya perlu ‘dihalalkan’.
Tidak terkecuali nama aktor kelahiran Singapura, Hisyam Hamid tersenarai sebagai ‘duda hot’ dalam kalangan peminat.
Hanya tersenyum mendengarkan gelaran sebegitu, Hisyam sedikit pun tidak terkesan dengan julukan nakal tersebut.
Dia sebaliknya lebih menitikberatkan soal kerjaya agar bebas daripada gosip panas.
Bapa kepada dua cahaya mata itu memilih untuk tidak sembarangan memuat naik gambar bersama mana-mana wanita kecuali atas dasar komitmen.
“Bagi saya setiap apa yang kita lakukan itu ada sebabnya. Saya tidak akan kongsi kepada umum gambar bersama mana-mana wanita terutama selebriti atau individu dikenali.
“Melainkan wanita itu merupakan gandingan saya dalam filem atau drama. Ya, saya akan kongsikan. Tetapi jika sekadar ingin ambil gambar bersama kerana jumpa pada acara hiburan perkara itu jarang berlaku.
“Sekarang saya lebih berhati-hati kerana besar kemungkinan setiap yang dikongsikan akan menjadi bahan cerita.
“Saya tidak mahu ada gosip mengatakan saya ada hubungan dengan mana-mana wanita sedangkan perkara itu tidak benar,” katanya tenang.
Bagi Hisyam, cukuplah sekadar khalayak menilai dirinya berdasarkan dinamik kualiti lakonan berbanding ceritera cinta yang menjadi ‘pemanis’ industri hiburan.
Hisham bertegas, dia bukanlah pemburu perhatian. Dia lebih senang memilih perjalanan kehidupan yang tenang tanpa gosip menyimpan kemas segala perihal dalam kain agar tidak terlihat khalayak.
“Gosip itu tidak teruk atau salah dan tiada kena mengena dengan status sekarang (duda).
“Tetapi saya rasa benda sebegitu tidak perlu. Lebih tiada berita berbanding kisah yang boleh mengundang kecaman.
“Sama juga dengan kisah perceraian sebelum ini. Tiada guna untuk menceritakan hal itu kepada umum, apatah lagi hendak buat ‘drama’ atau membuka aib sesiapa.
“Itu bukan cara saya dan kalau boleh saya hendak hidup setenang yang mungkin,” ujarnya.
Tayang badan
Terus bercerita, pelakon yang baru memasuki tangga usia 39 tahun itu turut mengakui, perlu menjaga penampilan demi bersaing dengan bakat baharu.
Bukan bermaksud terancam, dia sedar industri hiburan lebih menitikberatkan hal-hal indah dan sedap mata memandang.
Selain bakat lakonan yang mantap, pesona fizikal juga perlu bagi membolehkannya terus dilimpahi tawaran, sebagai hero khususnya.
Namun, Hisyam tidak memilih pendekatan serupa dengan beberapa aktor pucuk muda yang gemar mempamerkan sosok tubuh sado kepada umum.
Bergaya di depan lensa dalam keadaan separuh bogel bukan ‘umpan’ untuk menarik perhatian.
“Kalau badan dia cantik tiada masalah untuk tunjuk kerana bagi saya perbuatan itu hak individu.
“Tetapi, sekiranya bentuk badan saya cantik pun, saya tidak pernah terfikir untuk kongsikan gambar tidak memakai baju dalam media sosial.
“Setiap tindakan perlu ada motif dan tujuan, nak tunjuk badan kena rasional. Sama ada itu sebagai strategi pemasaran untuk memberitahu kepada penerbit atau pengarah bahawa boleh melakonkan babak aksi atau sebagainya.
“Semua itu terpulang kepada sudut pandang masing-masing. Mungkin juga ada yang ingin mengusik pengikut di media sosial.
“Jika bertanyakan kepada saya, itu tidak perlu dan saya tidak akan berbuat begitu,” ujarnya tegas.
Babak ‘daring’
Dalam perkembangan lain, Hisyam yang terpampang dalam drama 36 episod, Andai Tiada Dia (Astro Ria) bakal memberikan ‘dimensi’ baharu buat penonton.
Dia melakonkan watak suami yang bernama Haikal yang menindas isteri atas alasan tidak mampu memberikan zuriat buatnya. Baginya, hal tersebut satu kegagalan besar dalam rumah tangga.
Haikal turut menyifatkan Suri lakonan Ummi Nazeera tidak layak mendapat layanan baik kerana tidak mampu hamil.
“Penonton pastinya akan benci saya. Dalam drama itu, Haikal sangat kejam bukan sahaja kepada isteri, tetapi seluruh ahli keluarganya.
“Disebabkan kekejaman Haikal, saya selalu memohon maaf kepada Ummi dan beberapa pelakon lain kerana biarpun lakonan, saya rasa perbuatan itu tidak wajar apatah lagi suami yang melayan isteri sebegitu,” katanya.
Enggan bercerita lebih lanjut, Hisham mahu membiarkan semua itu menjadi kejutan buat peminat yang bakal mengikuti karya sentuhan Riza Baharudin, terbitan Global Station berkenaan.
Selain memaparkan watak suami yang tidak bertanggungjawab, Haikal turut mempunyai hubungan terlarang dengan Intan (Mimi Lana) iaitu adik iparnya sendiri. Jadi terdapat beberapa babak memperlihatkan godaaan Intan terhadap Haikal.
Melakonkan babak panas dengan penuh berhemat, Hisyam juga menolak untuk melakonkan babak berahi atau mempamerkan dirinya tidak berbaju.
Katanya, semua babak yang memerlukan dia tampil tanpa baju telah dibuang dan digantikan dengan adegan lebih ‘bersih’ bersesuaian dengan plot.
“Ketika membawa skrip, saya sudah berbincang dengan pengarah dan penerbit, tidak mahu melakonkan babak tanpa baju atau keterlaluan.
“Lagi pun penonton sekarang sudah bijak dan faham sesetengah perkara tidak perlu ditunjukkan secara terperinci.
“Saya tolak babak buka baju dan kalau ada pun sedikit saja iaitu babak mengurut.
“Bagi saya tidak perlu melakonkan babak begitu secara keterlaluan. Syukurlah pengarah dapat menerima pandangan saya.
“Kalau sekadar hendak tayang badan saja, bagi saya perkara itu tidak perlu,” jelasnya.
Drama Andai Tiada Dia memulakan tayangan pada hari ini setiap Isnin hingga Jumaat.
Selain Hisyam drama berkenaan turut membariskan pelakon lain, termasuklah Ummi Nazeera, Mimi Lana, Zahiril Adzim, Husna Mustaffa, Lan Siro, Kodi Rasheed dan Mia Nasir.
Cabaran watak
Seiring dengan perjalanan seni yang kini sudah menjengah usia lebih sedekad, Hisyam juga berani mencabar diri melakukan perubahan dalam drama Andai Tiada Dia.
Bagi menampakkan dirinya sedang ‘mabuk’ dilamun cinta, Hisyam mengambil pendekatan untuk menurunkan berat badan sekitar enam kilogram (kg) dalam tempoh sebulan.
“Ketika transisi Haikal jatuh cinta dengan Intan, saya ingin menunjukkan yang Haikal mula menjaga penampilan dan bentuk badan.
“Dalam tempoh sebulan saya mengamalkan diet yang ketat dan aktiviti fizikal untuk merealisasikan perkara itu.
“Pengarah juga terkejut kerana melihat perubahan ketara. Sepanjang tempoh itu, saya berjaya menurunkan sekitar 6kg daripada berat asal 89kg kepada 83kg,” ujarnya.
Hisyam berbuat demikian bagi menunjukkan kepada penerbit dan pengarah bahawa dirinya mempunyai kemampuan untuk melakonkan pelbagai watak termasuk melakukan perubahan fizikal.
“Saya tidak mahu orang melihat hanya mampu untuk melakonkan watak hero saja. Disebabkan itu saya ingin cabar diri membuktikan kepada khalayak, pengarah, penerbit dan stesen televisyen bahawa saya mampu melakonkan pelbagai karakter,” katanya.
Dalam usaha memberikan kualiti lakonan yang berkesan kepada penonton, Hisyam juga pernah berdepan tekanan emosi tatkala terlalu menjiwai watak.
“Sebelum ini sewaktu menjalani penggambaran filem baharu bertajuk Memori yang mengisahkan tentang hubungan kekeluargaan. Disebabkan situasi itu sangat dekat dengan saya, jadi saya agak terkesan terutama melihat gambar keluarga bahagia dalam media sosial.
“Saya berasa mudah marah dan memikirkan mengapa keluarga orang lain bahagia. Apabila sedar perkara itu, saya mula tidak melihat media sosial selama seminggu.
“Beberapa hari selepas penggambaran selesai, barulah saya buka media sosial dan kembali menjadi diri sendiri,” ujarnya sambil ketawa.
Bagi mengelakkan episod tekanan berulang, Hisyam kini memilih untuk menghabiskan masa dengan keluarga terutama ibu dan kedua anaknya iaitu Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15, sebaik sahaja ada waktu terluang.