KUANTAN – Gara-gara melarikan diri daripada polis yang sedang melakukan rondaan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam sungai di Jeti Batu 3, Sungai Belat, dekat Kampung Kurnia di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian mangsa yang berusia 45 tahun itu terjun bersama rakannya.
Bagaimanapun katanya, rakan mangsa selamat apabila berjaya berenang dan berpaut pada bot yang berlabuh di jeti berkenaan.
“Kalau mengikut keterangan saksi di lokasi kejadian, mangsa dan rakannya berada di tebing di kawasan kejadian sebelum menyangka kenderaan yang melalui kawasan itu adalah pihak polis.
“Bagaimanapun pihak polis masih lagi membuat siasatan untuk mengetahui punca sebenar mangsa dan rakannya bertindak terjun ke dalam sungai berkenaan.
“Sehingga kini polis masih mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai orang hilang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Zon 1 JBPM Pahang, Syobirin Abdul Kadir berkata, pihaknya masih belum menemui sebarang petanda di lokasi mangsa disyaki lemas.- KOSMO! ONLINE