fbpx

Lelaki bersisik tular, bahagia timang bayi pertama, sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad dan isteri bersyukur selamat menimang cahaya mata perempuan yang sihat dan comel, baru-baru ini sekali gus menepis tohmahan masyarakat.

PETALING JAYA – “Saya bukan saja bersyukur, malah kehadiran bayi perempuan comel dan sempurna sifatnya menepis hinaan masyarakat yang pernah kata kulit bersisik ini akan menjangkiti anak.”

Itu ungkapan seorang lelaki yang pernah disiarkan kisahnya di Kosmo! ekoran berdepan dengan masalah kulit bersisik seluruh badan sejak lahir, Muhammad Hassan, 27, selepas selamat menimang cahaya mata pertama, baru-baru ini.

Muhammad berkata, dalam kegembiraanya dan isteri menyambut Nur Haura Erdina yang berusia 23 hari itu dengan ucapan tahniah, ada juga yang ‘rancak’ mahu tahu keadaan kulit bayinya itu.

Namun luahnya, rasa terkilan dengan reaksi orang ramai yang adakalanya menggores hati itu, ditelan begitu sahaja apabila dapat memegang dan mengazankan sendiri bayi berkenaan.

“Ramai juga yang belum apa-apa lagi dah tanya, bagaimana keadaan anak saya. Apakah kulit dia normal atau sama seperti saya, berbanding ucapkan tahniah.

“Iyalah, mula berkahwin, ramai minta saya pulihkan kulit dulu sebelum merancang untuk dapatkan anak sebab takut berjangkit dekat bayi yang bakal lahir tapi kuasa Allah mengatasi segalanya,” katanya ketika dihubungi.

Bercerita tentang rutin hariannya pula Muhammad berkata, aktiviti hariannya semakin sibuk dalam memenuhi keperluan anaknya dan isteri, Nur Azlina Ali, 27, yang masih dalam tempoh berpantang.

“Mujur ada dua kakak saya yang ringan tulang bantu jagakan bayi dan isteri saya di rumah mereka. Cuma rutin saya kena ulang alik ke Kota Damansara dan Ampang (rumah kedua-dua kakaknya) lebih kerap.

“Ke pasar beli barang keperluan pun lebih kerap. Walaupun dalam keadaan cuaca tak menentu dan tidak baik untuk kulit begini, saya tidak kisah asalkan kebajikan mereka terbela,” ujarnya.

Ogos lalu Kosmo! melaporkan, Muhammad yang berdepan dengan masalah kulit bersisik seluruh badan sejak lahir meluahkan, dirinya selalu dihina dan difitnah orang ramai yang ‘bermulut jahat’ terutama ketika membuat siaran langsung di TikTok.

Biarpun kelihatan tabah menjadi salah seorang penghidap penyakit kulit dikenali sebagai Ichthyosis, namun pemuda yang aktif di media sosial TikTok itu adakalanya tergores hati.

Menurut Muhammad, dia tidak pernah menjadikan kekurangan dirinya itu sebagai alasan untuk meminta simpati orang ramai, malah sudah 10 tahun gigih mencari rezeki bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Ampang. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI