fbpx

Lebih 300,000 individu hilang kerja sejak 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mendapati seramai 293,639 pekerja kehilangan pekerjaan sejak 2020 sehingga September tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, terdapat tujuh industi paling terkesan dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, ia membabitkan sektor pembuatan seramai 75,615 orang, sektor perdagangan borong dan runcit (43,614) serta sektor aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (23,907).

“Selain itu, sektor sistem teknologi maklumat (ICT) seramai 19,931 orang, sektor penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (23,124).

“Bagi sektor pembinaan pula melibatkan seramai 21,233 orang, sektor pengangkutan (20,953) dan lain-lain sektor (65,262),” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) berkaitan industri yang terkesan disebabkan peningkatan automasi dan kecerdasan buatan.

Mengulas soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai langkah meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor teknologi dan industri 4.0, Abdul Rahman berkata, perkara itu sedang dilaksanakan melalui pelbagai program latihan kemahiran.

Katanya, menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebanyak 575,044 pencari kerja aktif direkodkan dari Januari hingga September di Portal MYFutureJobs, berbanding 125,956 kekosongan jawatan yang diiklankan.

“Bagi menangani cabaran guna tenaga tidak penuh, Kesuma telah memperkenalkan Program Latihan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan dan Skim Latihan Bakal Pekerja (FWT).

“Selain itu, Kursus Berfokuskan Industri 4.0 dan Kerjasama Strategik dan Pusat Teknologi serta Pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk Pelatih,” ujarnya.

Tambah Abdul Rahman, Kesuma komited untuk memastikan graduan dan pekerja tempatan mampu menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan dengan kemahiran yang diperlukan, terutama dalam sektor teknologi dan Industri 4.0 termasuk automasi dan kecerdasan buatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI