KUALA TERENGGANU – Seorang usahawan tudung yang didakwa menikam dan melanggar rakan kongsinya pada tahun lalu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh wanita warga emas itu.
Tertuduh, Nooraini Remali, 36, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.
Berdasarkan pertuduhan, wanita terbabit didakwa membuat Norzihan Abd. Karim, 65, pada 1 November 2023.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Nooraini di hadapan pos pengawal bangunan Telekom Malaysia, Batu 23 Kuala Berang, Hulu Terengganu antara pukul 3.20 sehingga 4 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tabun hingga 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati jika sabit kesalahan.
Kosmo! 2 November 2023 melaporkan mayat Norzihan yang merupakan bekas pesara kerajaan ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam longkang berhampiran Pejabat Kesihatan Hulu Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan awal percaya wanita warga emas terbabit dilanggar tertuduh dengan menggunakan kereta Honda Jazz sehingga tercampak ke dalam longkang berkenaan.
Beliau menambah, Nooraini kemudiannya dipercayai menikam badan rakan kongsinya sebanyak 15 kali dengan menggunakan senjata tajam sebelum meninggalkan lokasi kejadian dengan menumpang sebuah van yang kebetulan melalui lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE