fbpx

Izzah, pelumba negara paling menyinar di Denmark

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZZAH mendapat pujian Beasley walaupun gagal membawa pulang pingat pada Kejohanan Dunia di Denmark. - AFP

PETALING JAYA – Skuad berbasikal trek negara menamatkan kempen Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2024 di Ballerup, Denmark awal pagi tadi dengan petanda positif meskipun tidak dapat membawa pulang sebarang kilauan pingat.

Pencapaian terbaik pasukan Malaysia pada kejohanan itu hadir menerusi bintang berbasikal wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri yang menamatkan acara keirin malam kelmarin di kedudukan ketujuh keseluruhan.

Ia boleh dianggap sebagai satu peningkatan oleh pelumba berusia 21 tahun itu memandangkan pada edisi tahun lalu yang berlangsung di Glasgow, Scotland, dia gagal untuk melepasi aksi pusingan pertama.

Pengarah teknikal berbasikal trek kebangsaan, John Beasley berkata, Izzah menunjukkan peningkatan yang cukup baik selain percaya atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berpotensi untuk berada di podium pada edisi akan datang.

“Izzah mengharungi kejohanan dengan aksi cukup baik. Menamatkan acara keirin di tempat ketujuh merupakan cara terbaik untuk menutup kempen di Ballerup. Sudah tentu kami berharap untuk membantunya ke podium, mungkin perlu menunggu hingga tahun depan.

“Tahun lepas dia tidak dapat melepasi pusingan pertama pada penampilan sulung di Kejohanan Dunia, namun 12 bulan kemudian dia mara ke Sukan Olimpik selain menamatkan Kejohanan Dunia di kedudukan ketujuh dalam acara keirin,” katanya.

Sementara itu, mengulas aksi Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Beasley mempertahankan aksi bawah par yang ditampilkan pelumba itu selepas menamatkan acara keirin di kedudukan kesembilan selain gagal melepasi pusingan pertama dalam acara pecut.

Beliau menjelaskan, Shah tidak berada pada prestasi terbaik akibat kurang persiapan selain berdepan masalah kesihatan apabila dijangkiti virus sehingga mengalami demam panas ketika dalam perjalanan ke Denmark.

“Dia mencapai sasaran untuk mara ke separuh akhir dalam acara keirin tetapi prestasinya dalam acara pecut menunjukkan kesan daripada kekurangan latihan selain jangkitan virus yang dialami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI